MUFFIN KURMA DAN KEKACANG

Assalamualaikum...

Esok InsyaAllah kita akan menyambut bulan Ramadhan di mana umat islam akan mengerjakan rukun islam yang ke empat iaitu berpuasa selama sebulan di bulan ramadan. Hari ini pasti surirumah sibuk ke pasar basah mencari bahan mentah untuk di masak bagi bersahur pada awal pagi dan seterusnya untuk berbuka. Walau apapun rencana kita sebaiknya bersederhanalah dalam berbelanja dan elakkan pembaziran, bersesuaian dengan konsep puasa itu sendiri dan sentiasa ingat orang yang lebih memerlukan.

Pagi ini hari terakhir sebelum berpuasa, anak-anak minta di buatkan bekal ke sekolah. Yang terlintas di kepala saya adalah yang ringkas dan cepat di sediakan iaitu muffin. Saya gunakan apa sahaja yang ada di dapur termasuk kurma, kuaci dan kepingan badam. Oleh kerana tidak ada susu segar asli, saya gunakan susu segar perasa coklat yang masih berbaki di dalam peti sejuk. Alhamdulillah, sedap dan anak-anak pun suka.

Jom kita lihat resepinya...


MUFFIN KURMA DAN KEKACANG
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum - diayak
½ cawan gula kastor
1 sudu besar baking powder
½ sudu kecil garam halus
1 cawan susu segar
1/2 sudu teh esen vanilla
¼ cawan kurma - di cincang
¼ cawan kekacang campuran (ikut selera)
1 biji telur - gred A (atau 2 biji telur gred B)
4 sudu besar mentega - cairkan di atas api sederhana dan sejukkan.

Cara membuat:

1. Panaskan oven 180'c

2. Di dalam sebuah mangkuk besar masukkan tepung gandum, baking powder, garam, kurma  cincang dan kekacang.

3. Di dalam mangkuk berasingan, pukul telur bersama gula kastor, susu segar dan esen vanilla.

4. Tuang adunan telur yang di pukul tadi kedalam adunan kering (No. 2) dan kaup balik hingga rata. Jangan terlebih kacau adunan tersebut kerana muffin akan menjadi keras.

5. Perlahan-lahan tuang adunan muffin kedalam acuan, dan masukkan kedalam oven dengan segera. Bakar selama lebih kurang 20minit atau hingga masak.

Tips : Sebaik sahaja bahan-bahan basah dan kering telah di campurkan antara satu sama lain, cecair akan mengaktifkan serbuk penaik dan adunan mesti dibakar segera.






0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)