Assalamualaikum, 

Hidangan mee memang tidak menjemukan walau di goreng kering atau berkuah. Tapi, yang paling sedap sekali bagi saya adalah mee goreng basah yang di hidangkan pula dengan cili jeruk. Boleh terbabas diet di buatnya. 

Untuk menikmati sepinggan mee basah dengan cili jeruk yang sedap kita tidak perlu cari di gerai atau restoran sebenarnya kerana kita boleh juga masak sendiri di rumah. Mee ini saya dah ubah suai sedikit dan menjadikannya kurang basah ikut selera anak-anak. Jom kita lihat resepi... :)
MEE GORENG BASAH DAN CILI JERUK
Sumber : Tulip77 - myresepi

600g mee kuning
3 ekor sotong
6 ekor udang basah
3 tangkai pokok sawi
1 sudu besar pes cili kering
2 sudu besar minyak masak
1/2 sudu besar sos tiram
4 sudu besar sos tomato
1/2 sudu besar kicap pekat (Boleh lebihkan sedikit ikut selera)
3 cawan air panas - saya cuma guna 2 cawan air panas
3 ulas bawang putih
garam, gula & ajinomoto (saya tak letak ajinomoto tapi gantikan dengan kiub ikan bilis)
Cara memasak:

1. Panaskan minyak dan tumis bawang putih hingga naik bau. Masukkan pes cili tumis sekejap. Masuk sotong & udang gaulkan sebati.
2. Masuk sos tomato,sos tiram,kicap pekat,gula,garam dan kiub ikan bilis. Kacau biar sekata. Masuk air panas dan biar menggelegak. Rasa cukup semua bahan perasa. Suaikan ikut selera anda.

3. Masukkan mee kuning & gaul sebati. Masukkan pula sawi dan kalau nampak air dah kering atau tak cukup basah boleh tambah lagi air panas.Kecilkan api & biar selama 4minit. Kemudian kacau sekejap,bila semua perasa dah meresap dalam mee, tutupkan api. Masukkan taugeh dan gaul sekata.

CILI JERUK 
Sumber : CMG - tiffinbiru

Bahan-bahannya

80 - 100 gram cili hijau segar, cuci dan toskan

230 ml cuka makan
3 -4 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam

Cara membuatnya:
1. Cili hijau dipotong tapi jangan halus sangat biar kasar sedikit, kemudian celur dalam air mendidih selama 20 saat. Tos kan dan biar sejuk.
2. Sediakan botol, yang mana terlebih dahulu dicuci bersih dan rebus dalam air panas selama 5 minit, toskan hingga betul-betul kering. Isikan botol tadi dengan cili, biar padat. Tekan sedikit. Ketepikan.
3. Bancuh cuka makan dengan gula dan garam, kacau rata hingga semua larut. Tapis dan tuang ke dalam botol berisi cili hijau tadi hingga penuh, kalau tak cukup tambah sedikit cuka lagi. Tutup dan biar di tempat teduh.

4. Lepas 4 - 5 jam anda boleh nikmati cili jeruk, yang sesuai dimakan dengan semua jenis mi dan makanan pilihan anda. Pastikan sudu yang anda guna untuk mencedok cili, kering dan bersih.

Assalamualaikum,


Masak lauk apa ya tengahari ni? Jika belum masak, apa kata masak resepi yang paling mudah iaitu ikan goreng masak taucu. Resepi yang ringkas macam ni memang sesuai sekali untuk ibu yang bekerja kerana menjimatkan masa. Rasanya semua orang tau cara memasak ikan goreng taucu ni, tapi saya ingin juga berkongsi di sini sebab anak saya suka masakan begini. Nanti senang dia nak rujuk semula jika teringin nak makan dan taklah tertanya-tanya lagi dengan saya. 

Maklumlah anak remaja yang baru nak belajar memasak memang begitu. Hari ni di ajar, esok lupa lagi. Masuk ke dapur merupakan pengalaman baru bagi mereka...dan sebolehnya biarlah apa yang di masak itu menjadi dan dia bersemangat  untuk masak lagi nantinya. Sebab itulah sebolehnya saya cuba sertakan langkah demi langkah cara memasak agar anak-anak yang baru berjinak dengan dapur akan lebih faham.
IKAN GORENG MASAK TAUCU
sumber : Mamak Haji
Bahan-bahan
5-6 ekor Ikan selayang (Boleh gantikan dengan apa-apa jenis ikan)
5 sudu besar taucu - basuh dan bersihkan taucunya.
2 biji bawang labu dihiris bulat.
3 ulas bawang putih dihiris.
1 inci halia dihiris halus.
5 tangkai cili api dibelah-dua memanjang.
1 tangkai cili merah - belah dua memanjang.
1 biji lada benggala/ capsicum – dihiris.
1 biji tomato dibelah empat.
1 btg serai dibelah dua atau diketuk.
1 sudu besar gula pasir.
1 sudu besar asam jawa dijadikan satu cawan air asam.
2 sudu besar minyak masak.
Cara Memasak:
1. Ikan di siang  dan bersihkan lalu dilumur garam dan serbuk kunyit. Goreng ikan hingga garing sedikit.
2. Panaskan kuali, masukkan minyak masak 2 sudu besar. Masukkan serai dan tumis serai hingga naik baunya, masukkan bawang, putih, bawang, halia, cili api, cili merah dan lada benggala. 
3. Bila tumisan mula keluarkan bau haruman (layu saja) masukkan taucu 4 sudu besar dan diikuti dengan air asam jawa. Tunggu hingga air asam mendidih. Masukkan gula secukup rasa (untuk matikan keasinan taucu).

3. Tuangkan di atas ikan goreng. Hidangkan dengan nasi panas.






Assalamualaikum,

Resepi yang ringkas untuk dinner malam ni...sedap di makan dengan nasi panas. Kacang tanah yang ranggup di saluti sambal ikan bilis dan tempe memang menjadi kegemaran anak-anak dan boleh bertahan lama. Saya sering masak dan bekalkan kepada mereka jika ada aktiviti luar seperti perkhemahan. 

Baiklah, jom langsung saja kita lihat resepi yang ringkas ni...
SAMBAL GORENG TEMPE DAN IKAN BILIS
Bahan
400gm tempe, potong-potong kecil
100gm ikan bilis - di kopek
200gm kacang tanah
1 sudu makan air asam jawa 
1 sudu teh gula pasir
Minyak untuk menggoreng
Bahan Kisar
6 ulas  bawang merah
3 ulas bawang putih
5 tangkai cili besar - merah
2 cm lengkuas
1 sudu teh garam
Cara memasak:

1. Goreng berasingan tempe, ikan bilis, dan kacang tanah. Ketepikan seketika.

2. Ambil 3 sudu makan minyak lebihan menggoreng tadi, tumis bahan-bahan yang di blender dan masak hingga harum. Masukkan air asam dan gula pasir sambil di kacau.
3. Masukkan tempe, ikan bilis, dan kacang tanah, kacau rata hingga bahan-bahan bercampur rata dan angkat. 
Assalamualaikum,

Nasi ayam ini di inspirasikan dari resepi chef terkenal Malaysia iaitu chef wan bagi saya sangat sedap dan mempunyai rasa khas yang tersendiri. Anak-anak begitu gemarkannya dan saya juga suka kerana kaedah memasak ayam untuk nasi ini adalah di panggang di dalam oven, bukan di goreng di dalam minyak yang banyak. Saya sempat mencuba resepi ini untuk 'dinner' semalam.

NASI AYAM CHEF WAN
Sumber : Kak Ummizaihadi - homesweethome (di kongsi dari Nur @ Fiqah99)

BAHAN-BAHAN UNTUK NASI
1/2 cawan marjerin 
2 biji bawang besar - dikupas dan dicincang
2 cm halia muda - dikupas dan dicincang halus-halus
3 ulas bawang putih - dikupas dan dicincang halus-halus
1 cm kulit kayu manis
4 kuntum bunga cengkih
2 helai daun pandan - disiat-siat dan disimpul
4 cawan beras butir panjang - dicuci dan ditoskan (saya hanya gunakan beras biasa sahaja)
5 1/2 cawan air rebusan ayam dan sedikit garam
Cara memasak nasi:
1. Cairkan marjerin didalam periuk panas dan tumis bawang besar, halia, bawang putih, kulit kayu manis,bunga cengkih dan daun pandan sehingga naik baunya.

2. Masukkan beras dan goreng sebentar. Tambah air rebusan ayam dan perasakan dengan garam. Masak sehingga cecair terserap dan kecilkan api.
3. Tutup periuk dan masak selama 10 minit sehingga nasi tanak. ( saya juga guna teknik kak ummi, terus tumis dalam periuk elektrik dan masak seperti biasa hingga nasi kering dalam rice cooker)

CARA MENYEDIAKAN AYAM :
1 ekor ayam berat nya dalam 1.5 kg, dibersihkan dan dibelah dua - direbus dalam air yang didih perlahan hingga separuh masak.
Garam
Lada hitam yang baru dikisar (saya gunakan 1 sudu besar)
2 cm halia - dikupas dan ditumbuk
2 ulas bawang putih - dikupas dan ditumbuk
2 sudu besar kicap manis
3 sudu besar marjerin

CARA MEMASAK:
1. Lumur ayam dengan garam, lada hitam, halia, bawang putih dan kicap. Kemudian lumur pula dengar marjerin.
2. Letakkan ayam di dalam dulang pembakar. Bakar ayam di dalam ketuhar yang sudah dipanaskan pada 180 darjah celsius selama 30-40 minit sehingga masak.
Potong ayam kecil-kecil dan hidang dengan nasi.
Bahan Sos cili :
5 - 6 biji cili merah
1 kiub pati ayam
2 biji tomato
2 ulas bawang putih
garam dan gula secukup rasa
2 inci halia - diketuk
Kisar semua bahan kecuali halia. Tuangkan ke dalam periuk dan masukkan halia ketuk. Masak sebentar di atas api perlahan hingga didih. Angkat dan sedia dihidangkan bersama nasi ayam.

*Resepi ini tidak di sertakan resepi sup. Saya hanya memasukkan bawang putih dan halia yang di ketuk bersama kiub ayam ke dalam baki air rebusan ayam dan perasakan dengan garam. Taburkan dengan daun sup & daun bawang serta bawang goreng, sedia untuk di hidangkan.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu :). Sibuk benar dua hari ni dan baru hari ni sempat menjengah blog. Maklumlah cuti sekolah dah hampir dan bahang kesibukan dah mula terasa. Kerja di bidang perkhidmatan seperti saya ni ketika musim cuti sekolah berganda-ganda sibuknya memberi perkhidmatan kepada rombongan yang datang ke Langkawi. Hari ini cuti dan berada di rumah dapatlah menunaikan permintaan dari anak sulung saya yang teringin sangat  nak makan kek red velvet. Kebetulan minggu lepas ada terlihat kek red velvet yang sangat menawan di blog mamasya, jadi teringin juga nak buat kerana bahan-bahannya pun mudah di dapati. Saya kongsikan sekali lagi resepinya di sini.

Jom kita lihat...
RESEPI KEK RED VELVET MOIST 
Resepi olahan oleh : hanamemories.blogspot.com 
Sumber : Dapurmamasya 

Bahan A (di Ayak)
2 cawan tepung kek/superfine 
2 sudu besar serbuk koko 
1 sudu kecil baking powder 
1 sudu kecil soda bicarbonat 
1 sudu kecil garam 
Bahan B
1 cawan gula halus 
1 sudu besar pewarna merah 
1 cawan minyak masak 
1/2 cawan air panas 
2 biji telur A 
esen vanila 
Bahan C
1 cawan buttermilk - resepi di bawah 

Topping 
250g cream cheese @ satu ketul 
1/2 cawan whipping cream 
1/2 cawan gula 
1 sudu besar jus perahan lemon 

Cara-cara 
Sediakan buttermilk - Campurkan 1 cawan susu segar/susu cair dengan 1 sudu besar cuka apple cider atau cuka putih. Biarkan sebentar lebih kurang 10minit. Boleh juga guna yogurt sukatannya ialah 3/4cawan yogurt plain/original + 1/4 susu segar. 

1. Satukan semua bahan A ke dalam mangkuk. Ketepikan. 
2. Di dalam mangkuk lain, satukan gula, minyak dan juga telur. Pukul hingga kembang. Masukkan buttermilk, pewarna merah dan esen vanila. Pukul lagi. Masukkan bahan yang telah diayak tadi (bahan A) sedikit demi sedikit sambil putar perlahan hingga semua sebati. Akhir sekali masukkan air panas dan gaul sebati. 
3. Lengserkan loyang dengan butter dan tepung, tuang adunan dan bakar 45minit. Kek ini boleh juga dikukus

4. Sementara menunggu kek masak, sediakan topping. Putar semua bahan sehingga sebati kemudian sapu pada kek. Sejukkan dahulu baru potong dan hidang. 
Assalamualaikum,

Sebenarnya lidah saya ini kurang serasi dengan spaghetti tetapi anak-anak semuanya suka dan selalu pula minta di masakkan menu yang satu ini. Memasak spaghetti memang mudah dan tidak mengambil masa yang lama asalkan semua bahan-bahannya ada. Untuk 'dinner' semalam, saya ada masakkan spaghetti cendawan dan bebola ketam untuk di hidangkan kepada keluarga dan alhamdulillah anak-anak suka resepi hasil dari kombinasi bebola ketam dan cendawan Shimeji. 

Jom kita lihat resepinya... ;)

MUSHROOM & CRAB MEATBALL SPAGHETTI
Bahan-bahan
1 paket spaghetti
200gm crab meatball
1 cawan cendawan (saya guna cendawan shimeji segar) - bersihkan
2 labu bawang besar - di potong dadu (cincang)
1/2 biji cili benggala merah 
1/2 biji cili benggala hijau
3 sudu besar minyak zaitun
1 1/2 cawan sos spaghetti cendawan - Jenama Kimball
1/2  sudu besar serbuk oregano kering
1 sudu teh serbuk cili (jika suka pedas)
1 cawan air (larutkan dengan 1 kiub ayam)
garam dan gula secukup rasa.
Cara memasak:

1.  Masak air di dalam periuk hingga mendidih. Masukkan 1/2 sudu teh minyak zaitun dan rebus spaghetti hingga lembut.

2. Cili benggala di potong nipis memanjang dan cincang dadu bawang besar.
3. Masukkan 3 sudu besar minyak zaitun kedalam kuali dan tumis bawang besar hingga naik bau. Masukkan pula crab meatball dan goreng sebentar.
4. Masukkan pula sos cendawan spaghetti dan serbuk cili dan tuang 1 cawan air (campur kiub ayam) sambil di kacau lagi hingga kuah agak pekat.
5. Perasakan dengan garam dan gula dan akhiri dengan menabur serbuk oregano. Apabila telah masak, tuang kuah tersebut keatas spaghetti yang telah di toskan tadi dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Nangka muda memang enak jika di rampaikan dalam masakan seperti gulai atau masak lemak dan di gandingkan dengan ikan masin, daging atau tulang. Jika di sebelah utara semenanjung iaitu di Kedah, nangka muda juga di hidangkan di majlis kenduri- kendara yang menyajikan lauk ala kampung. Kerabu nangka muda yang saya hasilkan ini di campurkan dengan udang dan rasanya memang enak dan membuka selera makan. 

Bagi yang takut badan 'berangin' tak salah jika makan nangka muda ini dalam kuantiti yang kecil.
KERABU NANGKA MUDA DENGAN UDANG 
Bahan A
5 potong nangka muda - anggaran 500gm 

Bahan B
5 biji cili merah 
3 tangkai cili padi 
1 labu bawang besar - di mayang halus
1 sudu teh asam jawa (saya guna jenama adabi)
garam dan gula secukup rasa
1 inci belacan - di bakar terlebih dahulu
2 sudu besar kerisik

Bahan C
150gm udang kertas (udang saiz kecil/sederhana berkulit lembut) 

Cara membuatnya:

1. Rebus nangka muda hingga lembut dan toskan. Apabila sejuk potong nipis-nipis dan masukkan dalam sebuah mangkuk.

2. Tumbuk semua bahan B dengan lesung batu hingga hancur dan gaulkan dengan dengan 2 sudu besar kerisik.
3. Rebus udang dengan sedikit garam dan kopek kulitnya. 
4. Akhir sekali, masukkan sambal (bahan B) yang di tumbuk tadi ke dalam mangkuk berisi nangka muda. Campurkan juga dengan udang rebus dan bawang besar. Gaul hingga rata dan hidangkan.


Assalamualaikum,

Ketam masak lemak cili padi memang sedap jika di masukkan belimbing buluh di dalam kuahnya. Kebetulan ada teman memberikan belimbing buluh di tempat kerja siang tadi jadi saya campurkan kedalam masak lemak malam ini. Pokok belimbing buluh di rumah ibu ada 4 pohon semuanya tapi entah di mana silapnya ianya tidak mahu mengeluarkan buah kebelakangan ini dan pemberian ini buatkan saya semangat untuk memasak sebaik sahaja pulang dari kerja. Jika tidak ada belimbing buluh, boleh juga di gantikan dengan asam keping/gelugur untuk masakan ini, tapi cukup sekadar 2 keping kerana ianya lebih masam dari belimbing buluh.
KETAM MASAK LEMAK CILI PADI
sumber : Chef Hanieliza (resepi asal menggunakan ikan)

Bahan A
4 ekor ketam 
2 cawan santan pekat
10 biji belimbing buluh
3 batang serai  (di ketuk)
garam dan gula secukup rasa

Bahan B
15 - 20 biji cili padi 
1 inci kunyit hidup
1 cawan santan cair 
cara memasak:

1. Bersihkan ketam dan tanggalkan kulitnya.

2. Masukkan semua bahan kecuali santan pekat ke dalam periuk.
3. Masak sehingga mendidih dan kecilkan api. Masukkan pula santan pekat sambil di kacau perlahan-lahan hingga mendidih.
4. Apabila telah masak bolehlah matikan api dan hidangkan bersama nasi.


Assalamualaikum,

Satu lagi kek yang menjadi koleksi di blog ini untuk rujukan pada masa akan datang adalah kek pisang kelapa. Saya buat kek ini kerana masih ada pisang yang masak ranum lebihan daripada membuat muffin 2 hari lepas. Sayang juga daripada dibiarkan rosak..kalau anak-anak pula langsung tidak mahu sentuh pisang yang masak dan lembik begitu. Ketika membelek-belek majalah masakan saya tertarik dengan resepi kek yang satu ini. Kebetulan bahan-bahan lain semuanya ada, jadi terhasil lah kek yang sedap ini untuk sarapan hari ini. Jom kita intai resepinya...
KEK PISANG KELAPA 
Sumber : Majalah rasa - september 2013

Bahan-bahan
4 biji pisang - di lecek 
250gm tepung naik sendiri (saya gunakan tepung gandum + 1 sudu teh baking powder)
125gm mentega
115gm gula perang
2 biji telur
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh soda bikarbonat 
125ml susu segar 
30gm kelapa kering 
20gm kepingan badam
20gm biji kuaci 

Cara memasak:

1. Pukul mentega dan gula perang hingga kembang, kemudian masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga kembang.
2. Masukkan pisang yang telah di lecek bersama esen vanila. Pukul adunan hingga mesra. 
3. Perlahankan kelajuan mixer, masukkan tepung yang telah di ayak dengan baking powder & soda bikarbonat tadi dan susu secara berselang seli sehingga habis. Masukkan pula kelapa kering dan pukul sehingga sekata sahaja.
4. Tuang adunan ke dalam loyang bersaiz 7inci yang telah di alas kertas minyak dan taburkan kepingan badam serta biji kuaci.

5. Bakar pada suhu 180'c selama satu jam atau sehingga masak. Setelah kek sejuk bolehlah di potong dan hidangkan.
Assalamualaikum,

Dah makan malam? Di tempat saya hujan lebat sangat dari petang tadi dan hidangan makan malam ini saya masakkan tomyam udang yang pedas dan 'terangkat'. Sedap di hidangkan dengan nasi panas. Kalau yang ingin mencuba, silalah ikut resepi di bawah ni. Petua memasukkan susu pekat manis kedalam kuah tomyam saya dapat dari seorang tukang masak yang pernah bekerja di restoran Thai. Kalau tak mau letakkan susu, boleh juga di gantikan dengan santan. Rasanya memang sedap dan tidak kalah dengan tomyam yang di hidangkan di restoran Thai terkenal.
TOMYAM UDANG - PEDAS TERANGKAT
Bahan-bahan 
300 gm udang segar 
500 ml air (boleh lebihkan)
1 inci lengkuas
1 labu bawang holland (bombay)
1 biji tomato - di belah 4
2 batang serai
3 helai daun limau purut
10 biji cili padi 
1 tangkai daun ketumbar
2 sudu besar jus lemon / limau nipis
6 sudu besar sos ikan 
2 sudu teh garam 
2 sudu besar pes tomyam 
2 sudu teh pes cili 
2 sudu besar susu pekat manis 
Cara membuatnya:

1. Cuci bersih udang dan belah belakang serta buang kotoran.
2. Potong lengkuas dalam 3cm dan ketuk dengan lesung batu bersama serai untuk mengeluarkan aromanya.
3. Masukkan air dalam periuk dan nyalakan api dapur. Bila air mendidih, masukkan lengkuas, serai, daun limau purut, garam dan pes tomyam dan renihkan sebentar.

4. Masukkan udang dan renih lagi dalam 2 minit. Ketuk cili padi dengan lesung batu (sekadar untuk pecahkannya) dan masukkan ke dalam kuah tadi.

5. Masukkan juga sos ikan, jus lemon, pes cili, bawang holland, tomato dan susu pekat manis.

6. Matikan api dan masukkan daun ketumbar. Hidangkan dengan nasi panas.