NASI LEMAK SRI PANDAN & SAMBAL SOTONG

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, hari ini bercuti tetapi tetap bangun awal pagi buatkan sarapan untuk anak-anak. Menu yang agak istimewa iaitu nasi lemak pandan dan sambal sotong. Wangi nasi lemak ini, dan warnanya asli hasil daripada daun pandan yang di kisar dengan santan dan di campur ketika memasak nasi.
Sambal sotong pula saya buat ringkas sahaja dan menggunakan pes cili yang saya simpan lebihan menggoreng bihun dua hari lepas. Resepi pes sambal boleh lihat DISINI.

Saya cuma tambahkan bawang besar yang di mayang kasar, gula, garam secukup rasa  dan tumiskan dengan minyak masak dan masukkan sotong yang telah di bersihkan.
Saya masukkan juga sedikit air ikut kepekatan yang di rasakan bersesuaian. Baguskan jika buat pes cili ini dan simpan stok dalam peti sejuk. Mudah kerja memasak.

Baiklah, untuk resepi nasi lemak sri pandan..jom kita lihat resepinya.

NASI LEMAK SRI PANDAN
Sumber : Chef Hanieliza

3 cawan beras (saya gunakan beras biasa sahaja)
4 cawan santan
1/2 cawan air kisar dengan 7 helai daun pandan
2 inci halia - di hiris
3 ulas bawang merah - di mayang halus 
Garam secukup rasa 
Sedikit gula jika suka

CARA MEMASAK 
1. Daun pandan di kisar dan tapis.
2. Masukkan semua bahan kedalam periuk dan masak sehingga beras sebati dengan santan.
3. Apabila nasi sudah kering, kacau rata dan tutup semula tudung periuk. Biarkan ia sentiasa panas didalam periuk nasi.
4. Apabila sudah masak bolehlah di hidangkan dengan sambal sotong tadi dan telur rebus.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)