KUIH BAKAR @ BINGKA KELEDEK

Assalamualaikum,

Sarapan apa agaknya pagi ini ye? Dah lama rasanya saya tidak berkesempatan memasak sarapan untuk keluarga. Dah lama juga rasanya tidak bersosial dengan teman-teman maya di FB kerana kekangan masa dan sibuk sejak kebelakangan ini. Sibuk dengan tugas di pejabat, di rumah dan di tambah pula dengan tanggungjawab baru iaitu sebagai pelajar setelah menyambung pelajaran jarak jauh di Open University (OUM) bermula awal bulan ini. Menuntut ilmu itu tak kira usia dan saya lakukan kerana minat :) 

Ribuan terima kasih kepada pembaca blog yang masih tetap sudi masuk ke sini, walaupun resepi-resepi yang di kongsikan ringkas sahaja sejak kebelakangan ini. Itu sahaja yang saya mampu kongsikan di dalam kesibukan dan harap pembaca menyukainya.

Baiklah, untuk hari ini saya sempat menyiapkan bingka atau kuih bakar keledek untuk sarapan pagi. Dah lama tak makan bingka yang sedap dan lemak ini dan hari ni puas makan. Resepinya saya ambil dari dapur teman blogger yang pakar dalam segala macam kuih talam iaitu yatiememories

Terima kasih yatie, izinkan saya berkongsi sekali lagi di sini resepinya ya :). Oh ya, saya juga tertarik dengan idea linapg yang asingkan sedikit keledek yang di potong kiub dan nampak coraknya menarik jadi saya cuba idea dia di sini. 
KUIH BAKAR @ BINGKA KELEDEK
Bahan-bahan
4 biji telur
3 cawan santan
2 cawan tepung gandum
1 cawan gula
1/2 sudu kecil garam
1 sudu kecil esen vanilla
2 sudu besar butter
2 cawan keledek (rebus dan lecek) - saya asingkan 1/2 cawan keledek yang di potong kiub.
CARA-CARA

1. Panaskan oven pada suhu 200C, lenser loyang dengan mentega, (kalau nak kuih kelihatan tinggi, boleh guna loyang (7 x7 x 3) inci. Ketepikan.

2. Satukan bahan-bahan diatas kecuali keledek lecek, dalam satu bekas, kacau dengan whisk hingga semua bersatu. Tapis adunan tadi dan masukkan keledek lecek, kacau hingga rata. Masukkan juga keledek yang di asingkan tadi (di potong kiub) - sekadar untuk corak kuih bakar yang lebih menarik.
3. Tuang dalam loyang yang telah disiapkan tadi. Bakar selama 1 jam atau hingga masak. Kalau nak permukaannya berkerak, tambah masa pembakaran.
4. Keluarkan dari oven setelah kuih masak. Biar sejuk sebelum dikeluarkan dari loyang.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)