KUIH TALAM UBI KAYU

Assalamualaikum,


Salam pagi isnin dan selamat menjalankan tugas kepada semua yang mengikuti blog ini. Isnin begitu sinonim sekali dengan 'Monday blues' di mana terasa malas untuk memulakan kerja setelah bercuti pada hari minggu. Walau bagaimana pun jangan terlalu di turutkan sangat perasaan itu kerana kerja juga adalah satu ibadah dan beruntung kita yang masih punya pekerjaan untuk menyara keluarga.

Sarapan apa agaknya ya hari ini? Sesekali apa kata mencuba kuih tradisi yang sedap dan mudah pula di sediakan iaitu kuih talam ubi kayu. Bagi yang belum pernah mencuba buat kuih talam pasti merasa sukar dan takut gagal, tapi percayalah kuih tradisi lebih mudah membuatnya berbanding dengan kuih moden yang lebih banyak menggunakan bahan-bahan yang sesetengahnya sukar di dapati.

Kebetulan ada stok ubi kayu, saya mencuba resepi kuih talam ubi kayu yang sungguh lazat ini. Jom kita lihat bahan-bahannya.

KUIH TALAM UBI KAYU
LAPISAN BAWAH
600 gram parutan ubi kayu
160 ml santan cair
200 gram gula pasir
50 gram gula melaka
Sedikit pewarna coklat
1 helai daun pandan

LAPISAN ATAS
600 ml santan
40 gram tepung gandum
70 gram tepung beras
Garam secukup rasa

UNTUK BAHAGIAN BAWAH 
1. Satukan santan, gula pasir, gula melaka dan daun pandan. Masak dengan api perlahan hingga gula larut. Tapis dan sejukkan. Sediakan loyang bulat berukuran 9 inci x 3 inci dengan plastik bersih (saya gunakan loyang 8in x 8in). 
2. Sapu sedikit minyak pada plastik tadi. Panaskan kukusan. Satukan air gula merah yang telah sejuk tadi bersama ubi parut, kacau rata-rata dan tuang dalam loyang tadi, ratakan dan kukus 20 minit dengan api sederhana. Tutup permukaan tin dengan aluminium foil atau plastik untuk mengelakkan daripada air menitik.


UNTUK LAPISAN ATAS
1. Bancuh semua bahan untuk lapisan atas kecuali garam, kacau rata dan tambah garam secukup rasa (jangan banyak, kasi rasa lemak saja). 
2. Tapis bancuhan tadi. Kemudian masak atas api ksederhana hingga bancuhan suam, kacau tanpa henti. Tuang perlahan-lahan atas ubi tadi. 

3. Kukus lagi dengan api sederhana selama 25 minit, tutup permukaan loyang dengan aluminium tadi. Biar kuih betul-betul sejuk sebelum dipotong (sebaiknya dengan pisau plastik untuk mendapatkan potongan yang cantik).

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)