PASTA BAKAR BERKEJU

Assalamualaikum, 


Pasta bakar berkeju memang hidangan yang tidak akan di tolak oleh anak-anak saya. Agaknya semua hidangan berkeju menjadi kegemaran kanak-kanak ye :) . Ada banyak pasta jenis 'elbow' masih berbaki dalam simpanan didapur rumah saya tidak terusik, jika guna pun hanya kadang-kadang saya campurkan kedalam sup ayam. Bila bercuti semalam adalah sedikit masa untuk menggodek dan membakar. 

Saya sekadar gunakan bahan-bahan lain yang ada dalam simpanan seperti tomato sup untuk menyediakan bahan asas dalam sos. Kalau tidak ada tomato sup gantikan dengan tomato masak yang telah dikisar atau boleh juga gunakan sos spaghetti segera yang banyak di pasaran dalam berbagai perasa.  

PASTA BAKAR BERKEJU

Bahan A - dikisar
1 labu bawang holland - dipotong dadu
2 ulas bawang putih - dicincang 
1 tin tomato sup - saya guna jenama kimball (boleh gantikan dengan sos spaghetti segera)
2 biji tomato masak -  dicincang 
1 sudu besar pes cili 
1 sudu besar serbuk kari daging 
 ½  sudu teh oregano 
2 keping keju cheddar - dicincang 
garam dan gula secukup rasa.

Bahan B
400gm isi daging ayam cincang - boleh gantikan dengan daging lembu
1 tin cendawan butang - toskan dan hiris 
1 cawan keju cheddar yang telah disagat
2 cawan pasta - rebus hingga lembut dan toskan 
(Masukkan sedikit garam kedalam air rebusan) 
sedikit daun sup untuk taburan

1. Panaskan kuali, tumis bahan A dan masukkan semua bahan-bahan mengikut urutan. Masak sehingga agak pekat. Perasakan dengan garam dan gula. Seterusnya masukkan isi ayam kedalam bahan sos dan kacau. 
2. Masukkan pula cendawan butang dan kacau lagi.
3. Masukkan pasta pula yang telah siap di rebus. Ketika pasta bersalut dengan bahan kuah dan kelihatan pekat, pindahkan kedalam loyang.
4. Seterusnya tabur keju cheddar yang telah disagat memenuhi pasta dan akhiri dengan sedikit taburan daun sup cincang. 
5. Bakar didalam oven pada suhu 180'c sehingga masak. Saya masak dalam 45minit sehingga keju agak garing di bahagian atas. Setiap oven mempunyai kapasiti yang berbeza dan suaikan masa membakar mengikut oven anda.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)