Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu untuk semua yang sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, nampaknya di Langkawi cuaca cerah sekali petang ni. Bebas dari jerebu dan sesuailah kalau nak beriadah di luar rumah bersama keluarga. Bagi yang tak kemana-mana pula tu, apa kata kita sediakan hidangan petang untuk keluarga. Yang ringkas-ringkas macam bubur kacang hijau lemak manis ni pun jadilah asalkan ada juga airtangan sendiri. Dapat cicah dengan biskut pun sedap ni.

Jika ada lebihan bubur kacang hijau lemak manis yang tidak habis saya masukkan pula dalam plastik dan buat aiskrim malaysia  untuk anak-anak. Sedap sangatlah bila panas-panas pulang dari sekolah ada aiskrim kacang hijau dalam petiais, tak cukup sebatang dibuatnya. Memang bubur kacang hijau lemak manis ni boleh dinikmati dengan berbagai cara.

Untuk menghasilkan bubur kacang yang sedap dan wangi selalunya kacang hijau digoreng terlebih dahulu tanpa minyak dan selepas itu direndam. Nak tengok resipinya...jom kita lihat. Oh sebelum itu terima kasih kepada Nuanza kerana perkongsian resipi yang sedap ini. :)

BUBUR KACANG HIJAU LEMAK MANIS
Bahan-bahan
2 cawan kacang hijau
2 cawan santan pekat 
½ cawan susu pekat manis
2 sudu besar gula merah / putih (kena agak-agak sendiri, sebab susu pekat tu dah manis)
½ sudu teh garam
2 helai daun pandan - disimpul
2-3 sudu besar sagu

Cara membuatnya:

1. Goreng kacang hijau tanpa minyak didalam kuali dalam 3 hingga 4 minit, kemudian tutup api dan masukkan air.
2. Biarkan kacang hijau tersebut terendam dalam 1 jam.
3. Seterusnya bilas kacang tersebut dan rebus hingga kacang empuk. 

4. Bila semua kacang dah pecah dan empuk, masukkan semua bahan lain kecuali sagu. biarkan mendidih sekejap, kemudian masukkan sagu.
5. Tambah air jika agak pekat sebab bila dah sejuk nanti, kuah akan makin pekat. kalau masak agak lama sikit, bubur tak mudah basi
Assalamualaikum, 


Salam jumaat, penghulu segala hari untuk semua pembaca blog yang saya sayangi. Hari ni masak yang mudah-mudah sahaja, untuk makan pagi digabungkan ke makan tengahari atau dalam istilah lain disebut 'brunch'. Maklumlah hari ni kan cuti mingguan di Langkawi. Lepas bangun solat subuh anak-anak tarik selimut semula la jawabnya, dan kalau bangun lepas tu sarapan pun dah lewat, jadi saya buatkan nasi ayam madu ni tinggalkan untuk mereka sebelum ke pejabat. Mudah kerja :)

Resipi nasi ayam madu ini pula seperti biasa yang kita buat, cuma tambahkan madu ketika memerap ayam sebelum digoreng atau dipanggang. Saya lebih suka panggang didalam oven kerana pada pendapat saya daging ayam lebih lembut dan 'juicy'.

Nak tengok resipinya jom kita lihat bahan-bahannya di bawah ni.
NASI AYAM MADU 
BAHAN A - Untuk Rebusan 
1/2 ekor ayam 
2 liter air
1/2 inci halia
2 ulas bawang putih

BAHAN B - Perap dengan ayam yang telah di rebus 
2 ulas bawang putih  - ditumbuk lumat
1/2 labu bawang besar  - ditumbuk lumat
1/2 inci halia - ditumbuk lumat
1/2 sudu teh garam
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap manis
1 sudu besar madu 
2 sudu besar mentega 

BAHAN C - Untuk Nasi
2 sudu besar mentega
1 sudu besar minyak masak 
3 ulas bawang merah - dimayang 
2 ulas putih - dimayang 
1/2 inci halia - dimayang 
beberapa titis pewarna kuning 
garam secukup rasa
1 helai daun pandan disimpul
3 cawan Beras

Cara memasak :

1. Rebus ayam bersama semua bahan-bahan A sehingga ayam separuh masak.
2. Toskan ayam dan perap dengan bahan B, ketepikan  selama 1/2 hingga 1 jam. Setelah itu bakar didalam oven dengan suhu 180'c selama 1/2 jam atau sehingga garing. Setelah masak, sapukan lebihan madu keatas ayam yang masih panas untuk mengilatkannya. 

3.  Untuk nasi, basuh beras seperti biasa dan toskan. Panaskan mentega dan minyak masak dan tumiskan bahan C kedalam periuk hingga berbau wangi dan masukkan beras sambil dikacau.
4. Seterusnya masukkan 4 cawan air rebusan ayam kedalam periuk dan daun pandan serta masaklah nasi seperti biasa. 
UNTUK HIDANGAN SAMPINGAN 
1) Sup : Masukkan 1 kiub ayam kedalam baki air rebusan ayam, suaikan rasa dan tabur daun bawang serta bawang goreng. 

2) Kicap : Campurkan 1 cawan air rebusan ayam bersama 1/2 cawan kicap kipas udang dan 2 tangkai cilipadi yang telah ditumbuk (Jika suka pedas). Suaikan rasa dengan sedikit garam.

3) Cili : Kisar 1 sudu besar jus limau nipis atau cuka, 2 ulas bawang putih, 1cm halia, 1 sudu teh garam dan gula serta 1/2 cawan air rebusan ayam.


Assalamualaikum, 

Bagi penggemar bihun dan tauchu, ini adalah gabungan yang sangat tepat dan lazat. Bahan-bahan yang digunakan pun tidak banyak, semuanya mudah didapati. 

Anak-anak saya paling suka jika saya masakkan bihun goreng tauchu ini dan walaupun resipinya sangat mudah, saya kongsikan juga di blog ini untuk rujukan sesiapa yang ingin mencubanya.

Jom tengok... :) 

BIHUN GORENG TAUCHU
Bahan A
1/2 bungkus bihun - direndam hingga lembut dan toskan
2 sudu besar cili boh
4 sudu besar tauchu - dibilas dengan air, toskan dan lenyek dengan sudu
1 cawan udang - di kopek kulitnya  
Secekak taugeh 
Daun kucai secukupnya
1 biji tomato - di potong lapan 
Garam secukup rasa - jika tauchu kurang masin
1/4 cawan air

Bahan B - Ditumbuk lumat 
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih
segenggam kecil udang kering 

Cara memasak :

1. Tumiskan bahan-bahan yang ditumbuk hingga naik bau, masukkan cili boh dan kacau hingga sebati 
2. Tambahkan tauchu dan kacau lagi.

3. Masukkan pula udang sambil dikacau hingga udang masak.
4. Seterusnya masukkan bihun kedalam bahan tumisan bersama 1/4 cawan air dan kacau hingga bihun lembut. 
5. Akhir sekali masukkan pula daun kucai, sawi, taugeh dan tomato yang dihiris. Kacau hingga sebati dan perasakan dengan garam jika bihun kurang masin. Setelah masak, matikan api dapur dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum,

Pernah tak bila masak nasi berperisa jadi lembek atau terkeras kerana sukar mengagak sukatan air? Hari ini saya nak kongsikan resipi nasi carrot yang paling mudah dan sedap. Selalunya jika masak nasi carrot seperti biasa, carrot akan lembek atau hancur ketika kita mengacaunya. Tetapi dengan resipi ini, carrot tetap cantik dan mudah sangat membuatnya, tak perlu menjadi pakar memasak jika nak hasilkan nasi ini dan tak mengambil masa yang lama.

Cukup mudah jika nak raikan tetamu yang datang tanpa dirancang dan ianya tidak menggunakan periuk tekanan tinggi pun. Cuma masak nasi putih seperti biasa dan lakukan langkah-langkah yang saya sertakan dibawah ini.

Jom lihat resipinya :)

NASI CARROT PALING MUDAH DAN SEDAP
1 cawan lobak merah - di parut
3 cawan nasi putih yang telah dimasak dari beras basmathi
1 labu bawang besar - dicincang
1/2 sudu teh serbuk kunyit
1/2 sudu teh biji sawi
2 tangkai cili kering 
1 tangkai daun kari 
1 sudu teh garam masala
garam secukup rasa
1/4 cawan biji gajus 
1 sudu besar minyak sapi + 1 sudu besar minyak masak
sedikit daun ketumbar 

Cara membuatnya:

1. Panaskan minyak sapi dan minyak masak, tumis biji sawi, biji gajus dan cili kering.

2. Bila biji gajus agak garing, masukkan bawang besar, garam, serbuk kunyit, garam masala dan daun kari.
3. Kacau hingga sebati dan masukkan lobak merah yang telah diparut.
4. Bila lobak merah sudah sebati dan masak, tutup api dapur dan masukkan nasi yang telah dimasak tadi serta kacau hingga sebati.
4. Bila dah siap bolehlah dihidangkan panas dengan lauk-lauk pilihan.

Assalamualaikum, 

Sup daging ala Thai memang salah satu menu yang kerap saya order ketika makan di restoran atau kedai makan Thai yang selalunya tukang masaknya terdiri dari warga muslim dari selatan Thai. Supnya memang menyegarkan sekali dan cukup digandingkan dengan nasi panas dan telur dadar sahaja. Tidak perlu banyak lauk pun, dan itu sudah nikmat dan puas makan.

Rasa supnya yang pedas, masam dan masin serta dihidangkan panas-panas itu memang menepati selera saya yang sememangnya gemarkan masakan Thailand. Bila order di restoran memang cepat sampai ke meja dan daging didalam sup yang dihidangkan juga begitu lembut sekali bila dikunyah. Sudah pasti daging tersebut direnih lebih awal sebelum disediakan. Begitu juga dengan saya bila memasak dirumah saya akan merenih daging lebih awal dan menyimpan didalam peti sejuk. Bila balik kerja, cuma keluarkan daging tersebut dan hanya mengambil masa yang pendek untuk menyediakan semangkuk sup daging ala Thai yang lazat untuk makan malam. 

Nak cuba resepi sup daging ala Thai? Jom kita lihat resipinya. Mungkin tak sama seperti di restoran Thai yang anda makan, tetapi InshaAllah...sedap :)

SUP DAGING ALA THAI 
1 Kilogram daging - dibersihkan
3 biji buah pelaga
1/2 sudu teh serbuk ketumbar
1/2 sudu besar serbuk lada hitam
1/2 sudu besar serbuk lada putih
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga cengkih
1 biji tomato 
5 tangkai cili padi
2 akar ketumbar - di ketuk
bawang goreng secukupnya
1 inci halia - di ketuk
2 biji limau nipis - ambil jusnya
1 labu bawang holland - di hiris kasar
1/2 sudu besar garam 
2 liter air
1 batang celery - di potong pendek


Cara memasak : 

1. Renih daging sehingga empuk. Ini mengambil masa yang agak lama dan selalunya saya akan merenih daging lebih awal sebelum proses memasak. Buang buih yang timbul dipermukaan periuk dengan sudu ketika proses merenih daging tersebut. Tambahkan air secukupnya jika ianya menyusut.
2. Masukkan buah pelaga, akar ketumbar, kulit kayu manis, bunga cengkih, halia, lada hitam, lada putih dan serbuk ketumbar serta renih lagi.

3. Seterusnya masukkan bawang holland, batang celery dan tomato serta renih lagi.
4. Akhir sekali masukkan cili padi dan perasakan dengan garam secukup rasa. 
5. Masukkan sup kedalam mangkuk dan perahkan limau nipis kedalamnya. Taburkan bawang goreng dan bolehlah dihidangkan bersama nasi panas.

Jika ada kesempatan bolehlah hasilkan bawang goreng sendiri kerana ia lebih harum dan ranggup

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Sarapan apa hari ini? Kalau saya disini cuma sempat sarapan baki bingka kacang hijau yang dibuat malam tadi sebagai alas perut kerana hari ini ada temujanji dengan klinik pergigian. Terpaksa lah keluar awal dari rumah kerana masa dah ditetapkan dalam kad rawatan.

Tak ada apa nak cerita panjang hari ni cuma nak beritahu, bingka kacang hijau yang resipinya saya cuba buat dari blog yatie ni memang sedap. Malam tadi sempat bawa untuk kerumah ibu dan dia pun puji sedap dan secukup rasa bingka ini.

Saya kongsikan sekali lagi resipinya dibawah ini bagi yang ingin mencubanya...

BINGKA KACANG HIJAU
sumber : yatiememories

Bahan-Bahan- (loyang 9x9 inci atau acuan pecah 8)

1 cawan gula pasir
2 cawan tepung gandum
1 cawan santan pekat
2 cawan air
2 sudu besar mentega/minyak sapi
3 biji telur
secubit garam
sedikit pewarna hijau dan perisa pandan
2 cawan kacang hijau yg telah di rebus- (bahagi dua)
bijan secukupnya

Cara-Cara:-

1. Satukan kesemua bahan bersama 1 cawan kacang hijau dan kisar hingga sebati.
2. Masukkan dalam periuk dan masak hingga sedikit pekat dan sentiasalah kacau guna spatula. Guna api yang sederhana sahaja.
3. Masukkan 1 cawan kacang hijau yang tidak di kisar tadi dan gaul rata.
4, Masukkan 1 sudu besar minyak dalam loyang dan oleskan rata. Boleh juga guna mentega.

5. Panaskan loyang dalam oven sebentar. Bila minyak/mentega telah panas, masukkan adunan tadi.
6. Taburkan bijan dan bakar pada suhu 180 C selama 1 jam 15 minit atau sehingga garing. Guna api atas dan bawah. Kalau nak garing lagi tambahkan masa dalam 5 minit guna api atas sahaja untuk permukaan kuih yang garing.

Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat, penghulu segala hari dan hari ini merupakan jumaat pertama ditahun 1437H. 

Jika di Kedah hari ini adalah cuti mingguan dan anak-anak tidak kesekolah. Kalau sempat memang saya buatkan sarapan pagi untuk mereka. Maklumlah walaupun disini cuti, saya tetap masuk ke pejabat kerana cuti mingguan saya yang berurusan di sektor pelancongan adalah pada hari Sabtu dan Ahad.

Hari ini saya masak nasi lemak tumis yang cukup 'simple'. Nasib baiklah pes sambal masih ada didalam peti sejuk dan ini memudahkan lagi kerja memasak. Saya cuma tumis kembali pes sambal tersebut dan masukkan sotong yang telah dibersihkan. Seterusnya perasakan dengan garam dan gula dan sedikit air asam jawa. Siaplah sambal sotong untuk dihidangkan dengan nasi lemak tumis.

NASI LEMAK TUMIS 
Sumber : Junjs11 - MyR
Bahan-bahan ( Untuk 5-6 orang ) 
3 cawan beras  
2 cawan santan 
2 cawan air 
½ sudu besar halba
1 helai daun pandan - disimpul 
1 cm halia - dihiris halus 
1 batang serai- diketuk 
2 ulas bawang merah- dihiris 
garam secukup rasa 
1 sudu besar minyak  masak + 1 sudu besar margerin

Cara membuat :

1. Cairkan mentega dan minyak masak didalam periuk menggunakan api sederhana.
2. Tumis bawang merah dan halia hingga garing.
3. Masukkan air dan santan dan kacau hingga pecah minyak.
4. Bila mendidih masukkan beras, daun pandan, halba, serai dan garam. Masaklah seperti nasi biasa.
5. Bila nasi masak, hidangkan dengan sambal tumis, timun, telur dan ikan bilis goreng.

Untuk sambal sotong saya gunakan sambal yang selalu saya buat dalam kuantiti yang banyak dan simpan didalam peti sejuk. Boleh lihat cara-caranya disini. Saya tumiskan semula sambal ini, masukkan sotong dan perasakan dengan garam,gula dan seimbangkan lagi rasa dengan sedikit jus asam jawa. Sungguh mudah dan cepat.

SAMBAL TUMIS SOTONG
(Masak dalam jumlah yang banyak & simpan didalam peti sejuk) 
40biji cili kering - di rebus dan tapis (agar bijinya keluar)
1/2 inci belacan 
2 labu bawang besar 
1 sudu besar minyak masak
1 keping asam gelugur

CARA MEMBUATNYA :

1. Kisar semua bahan-bahan kecuali asam gelugur. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan juga asam gelugur ke dalam cili yang di masak agar pes tersebut tahan lama.

2. Pes cili ini boleh di simpan di dalam peti sejuk dan menjimatkan kerja memasak.

Assalamualaikum, 

Kek Kismis yogurt ini saya buat semalam. Sambil-sambil mengemas stok barang dapur tu baru perasan, masih ada pek tepung gandum dalam simpanan. Maklumlah agak lama juga tak buat kek atau kuih muih. Jadi bila godek-godek dengan bahan-bahan yang seadanya didapur terhasil lah kek Kismis Yogurt. Yogurt nya pula saya guna perisa mixed berries keluaran Nestle. 

Alhamdulillah gebu dan 'moist' tekstur kek ni. Teringin nak cuba buat? Jom kita lihat resipi :)

KEK KISMIS YOGURT
Saiz loyang : 8 inci
Bahan-bahan
1 ½ cawan tepung gandum
1 ¼ sudu teh baking powder
½ sudu teh baking soda
60gm kismis - Gaul dengan 1/2 sudu besar tepung gandum
Secubit garam
1 cawan yogurt – saya guna yogurt nestle
¾ cawan gula kastor
2 biji telur – Gred A
1 sudu teh esen vanilla
½ cawan minyak jagung/masak 

Cara membuatnya :

1. Masukkan yogurt dan gula kastor kedalam mangkuk adunan. Pukul hingga gebu dan gula hancur. Masukkan juga telur satu persatu bersama esen vanilla sambil dipukul lagi.

2. Masukkan pula tepung gandum, baking soda dan baking powder yang telah di ayak sedikit demi sedikit dan secubit garam kedalam adunan sambil diputar. Tuang minyak sedikit demi sedikit dan putar lagi. 


3.  Masukkan kismis kedalam adunan dan kaup balik menggunakan spatula. Sisakan sedikit kismis untuk ditabur keatas kek. Sebelum itu pastikan kismis digaul dengan 1/2 sudu besar tepung gandum untuk mengelakkannya daripada tenggelam ketika membakar kek nanti.


4. Seterusnya tuang adunan kedalam loyang dan tabur baki kismis dan bolehlah dibakar. Setkan suhu oven pada 170'c dan bakarlah sehingga kek masak iaitu selama 45 minit hingga 1 jam (bergantung kepada jenis oven).


Assalamualaikum, 

Salam Maal Hijrah 1437, tahun baru dalam kalendar Islam. Bulan Zulhijjah telah berlabuh  sebaik sahaja masuk waktu magrib semalam membawa berbagai catatan amalan baik dan buruk kita sepanjang tahun dan digantikan dengan bulan Muharram. 

Semoga tahun baru ini kita semua diberi kesihatan yang baik, dilapangkan rezeki yang halal dan lebih memperbaiki diri kearah kebaikan, maklumlah yang dinamakan manusia itu tak lepas dari kesalahan dan dosa. Peringatan ini untuk diri sendiri juga yang sering alpa.

Memandangkan hari ini cuti umum di Malaysia, tak ada ke rancangan kemana-mana dengan anak-anak dan keluarga? Kalau saya menghabiskan masa dengan mengemas rumah dan masak ringkas-ringkas untuk keluarga. Lagipun anak yang sulung sibuk dengan 'tuisyen' sebab peperiksaan SPM pun dah tak sampai sebulan lagi nak bermula.

Ceritanya bila dah bercuti ni dapatlah buatkan cucur udang utara dan kuah kacang gandingkan dengan minum petang. Dah lama tak buat cucur udang yang rangup dan sedap ni. Selalunya kalau jumpa udang saiz kecil-kecil kat pasar yang sekilo RM 16.00 tu memang saya beli utuk buat cucur. Boleh taruh banyak-banyak dan memang sedaplah kan.

Nak cuba resipi cucur udang ni, jom kita tengok cara membuatnya :)

CUCUR UDANG UTARA DAN KUAH KACANG 
Bahan-Bahan
2 cawan tepung gandum 
2 cawan air - masukkan sedikit-sedikit  
1/2 sudu besar yis  
1/2  labu bawang besar - di hiris  
1 cawan taugeh 
1 ikat kucai dibersihkan - dipotong pendek 
1 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh garam  
1 1/2 cawan udang basah - saya guna yang saiz kecil

Cara memasak :

1. Masukkan semua bahan kering kedalam mangkuk besar dan gaul. 

 2. Masukkan pula air sedikit demi sedikit sambil di kacau adunan menggunakan senduk. Jika adunan cair , hentikan penggunaan air, tetapi saya gunakan 2 cawan air memang adunan sedang elok sahaja. Masukkan pula udang dan sisakan sedikit untuk diletakkan keatas cucur sebelum menggoreng. perapkan adunan dalam 15minit sebelum mula menggoreng.


3. Seterusnya ceduk adunan dengan senduk dan letakkan dua ekor udang.

 4. Rendamkan senduk kedalam kuali berisi minyak panas dan gunakan sudu untuk menaggalkan tepung dari senduk. Goreng hingga keemasan menggunakan minyak yang sederhana panas agar masak sempurna.

6. Angkat cucur, toskan minyak dan bolehlah dihidangkan dengan kuah kacang.

KUAH KACANG
Bahan A
2 cawan kacang tanah 
15 tangkai cili kering 
1/2 inci belacan 
1 labu bawang besar - dimayang 

Bahan B
1/4 cawan gula 
1/4 cawan air asam jawa
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Goreng kacang tanah hingga ranggup dan kisar kasar.

2. Goreng juga cili kering, belacan dan bawang besar dengan sedikit minyak dan kisar halus.

3. Masukkan semua bahan kisar kedalam periuk dan masukkan juga gula, air asam jawa dan garam secukup rasa.

4. Seterusnya masukkan air secukupnya dan masak sebentar sahaja ikut kepekatan yang dikehendaki. Matikan api dapur.
Assalamualaikum,

Laksa Sarawak adalah salah satu daripada variasi aneka jenis laksa yang ada di Malaysia dan kuahnya dinikmati bersama bihun yang dicelur. Bukan dengan laksa beras atau laksa kering yang perlu direbus terlebih dahulu seperti di Utara Semenanjung Malaysia ni. 

Dah lebih dua minggu rasanya pes segera laksa Sarawak pemberian adik angkat saya, Rossella El Alisur tak terusik dan baru semalam saya cuba membuatnya, kebetulan pula bahan-bahan sampingan memang ada dalam petisejuk. 

Sebelum saya memasak Laksa Sarawak menggunakan pes segera ini, Rossella ada beritahu yang aroma pes Laksa sarawak yang dimasaknya sebelum ini sangat kuat dengan rempah ratus sedangkan dia memasak ikut aturan yang tertulis di pek. Hmmm..saya masak menggunakan pes yang sama tetapi ikut cara di blog Dayang Jack dan rasanya Alhamdulillah, sedap :). Mungkin kerana penggunaan pes, jumlah air dan santan yang lebih seimbang.

Baiklah, jom kita lihat resipinya...

LAKSA SARAWAK 
Bahan-bahan
200gm pes segera laksa Sarawak
Isi ayam secukupnya - direbus dan dicarik halus
1/2 kilo udang basah 
1 bungkus bihun - direndam dan dicelur
4 biji telur -  didadarkan dan hiris halus
2 batang serai - diketuk
250ml santan pekat
Garam dan gula secukup rasa
Taugeh - dicelur
sedikit daun ketumbar - diracik
limau kasturi secukupnya - dibelah dua

Cara memasak :

1. Sediakan 2 liter air dalam periuk. Jerangkan. Kemudian masukkan daging ayam dan udang yang sudah dibersihkan bersama serai. Rebus hingga masak dan toskan. 
2. Air rebusan tadi jangan dibuang. Sebaliknya masukkan pes laksa dan kacau menggunakan api perlahan. (Boleh tambah air jika perlu).


2. Masukkan santan dan perasakan dengan garam dan sedikit gula.

3. Masukkan bihun ke dalam mangkuk, letakkan bahan-bahan seperti taugeh, telur, daun ketumbar, isi ayam dan telur. Telur tersebut didadar, gulung serta hiris halus. 



4. Seterusnya tuangkan kuah laksa kedalam mangkuk bihun dan perahkan dengan limau kasturi. Hidangkan panas-panas. Untuk menyedapkan lagi rasanya, masukkan sedikit sambal udang kering.

Resepi Sambal Udang Kering 
Bahan-bahan
6 biji bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih - dikisar
sedikit belacan bakar - dikisar
segenggam udang kering - dikisar/ditumbuk halus
4-5 sudu makan cili kisar 
sedikit air asam jawa
garam dan gula

Cara memasak: 
Tumiskan bahan-bahan kisar dan cili kisar tadi hingga pecah minyak. Perasakan dengan garam dan gula dan masukkan air asam jawa. Kacau hingga pekat.