PUDING KEK CINCAU

Assalamualaikum, 

Hari ke tiga tahun 2016 dan hari ini tiga orang anak-anak telah kembali kesekolah. Seperti biasa hari pertama begitu bersemangat sekali dengan persalinan baru dan seronok nak jumpa kembali kawan-kawan serta cikgu. Harapnya semangat untuk belajar ini kekal sehingga hujung tahun ini dan memberi keputusan yang cemerlang dalam pelajaran.

Berbalik kepada resipi puding kek cincau, entry hari ini pula...sebenarnya saya buat puding ini semalam dan sempatlah anak kedua merasa sebelum pulang kembali keasrama. Ada lebihan kek marble yang tidak dihabiskan oleh anak-anak jadi saya buatkan puding kek cincau. Simple sahaja resipinya tetapi memang sedap dihidangkan ketika cuaca panas seperti sekarang. Jom kita lihat resipinya :)

PUDING KEK CINCAU
Bahan-bahan
10gm agar-agar - serbuk
1 tin susu cair
1/2 cawan air
1 sudu teh esen vanilla
2 putih telur -  dipukul hingga kembang dan putih
1 kuning telur - di pukul dengan garfu
1/2 cawan gula - kurangkan jika kek dah manis
cincau secukupnya - disagat
secubit garam
kek secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Masukkan susu cair, agar-agar, gula pasir, kuning telur dan garam kedalam periuk.
2. Masak dengan api sederhana dan kacau rata sehingga masak.

3. Matikan api dapur dan tuang agar-agar yang mendidih tadi kedalam putih telur dan putar dengan mixer hingga adunan bercampur dan rata.
4. Rehatkan sebentar adunan puding sehingga wapnya berkurang dan menjadi suam. Sementara itu atur kek kedalam loyang dan tabur dengan cincau yang telah disagat.
5. Tuang adunan puding perlahan-lahan keatas kek dan pastikan adunan puding terkena disemua bahagian loyang dengan menyengetkan sedikit loyang ketika proses tersebut.
6. Setelah proses siap bolehlah disejukkan sebelum dihidangkan.