UDANG LIPAN MASAK KUNG PAO

Assalamualaikum, 

Udang lipan masak kung pao, memang sedap setanding dengan isi udang-hidup biasa yang kita selalu masak. Tetapi sukar nak cari isi udang lipan ni. Saya pun beli produk frozen. Memang perlukan kemahiran nak kopek udang lipan dan ambil isinya. Maklumlah kulit udang ini boleh tahan tajam durinya dan perlu berhati-hati. Kalau suruh saya kopek..nak dapat 100gm tu pun tak sanggup rasanya..hahaha. Alhamdulillah jumpa produk frozen ni, bolehlah merasa. 

Bagi yang ingin mencuba masak kung pao ini, boleh juga gunakan udang biasa ataupun kalau nak gunakan isi ayam, harus perap dahulu dengan sos tiram dan tepung jagung sebelum digoreng. Untuk resipi yang gunakan isi udang lipan ni, saya masukkan terus dengan bahan tumis dan sosnya. Jom tengok resipi dibawah ni :)  

UDANG LIPAN MASAK KUNG PAO
Bahan-bahan 
500gm isi udang lipan @ mantis prawn
3 sudu besar minyak masak 
1 capsicum hijau - dihiris kasar
1/2 labu bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia - dicincang
2 tangkai daun bawang - dihiris
biji gajus panggang secukupnya  
5 tangkai cili kering 

Bahan Sos
1 sudu besar kicap cair
2 sudu teh kicap pekat
2 sudu teh gula
1 sudu teh tepung jagung 
2 sudu teh cuka
1 sudu teh minyak bijan
1/2 ketul kiub ayam 

Cara memasak:

1. Masukkan semua bahan sos didalam sebuah mangkuk dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak, tumis halia, bawang putih, bawang besar, capsicum, cili kering dan daun bawang hingga wangi.  
3. Masukkan isi udang lipan dan kacau hingga sebati dengan bahan tumis. Isi udang lipan frozen yang saya gunakan mengeluarkan air ketika ditumis jadi tidak perlu lagi memasukkan air dalam masakan ini.
4. Seterusnya masukkan semua bahan sos yang disatukan dalam mangkuk tadi dan kacau lagi.
5. Akhir sekali masukkan pula kacang gajus dan bolehlah matikan api dapur. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk pauk yang lain 

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)