Assalamualaikum, 

Roti goreng berinti memang menjadi kesukaan anak-anak saya. Mungkin kerana rotinya yang ranggup diluar setelah disalut dengan serbuk roti dan lembut didalam. Boleh dipelbagaikan inti untuk roti ini mengikut selera anda dan kalau suka inti pedas, sesuai juga letak inti sambal sardin atau sambal ikan bilis. Kali ini saya hanya guna inti kacang merah lebihan buat pau tempohari. Walaupun guna inti manis, laris juga dengan anak-anak.

Proses membuatnya pula mudah sahaja dan seperti biasa saya sediakan langkah-langkah mudah untuk dijadikan panduan. Jom kita lihat :) 
ROTI GORENG BERINTI
Bahan-bahan
200gm tepung protein tinggi
25gm gula kastor
25 ml air
1 sudu besar susu tepung
1/2 bungkus yis (6gm)
25 gram marjerin
1/4 sudu teh garam halus
1 biji kuning telur 

Inti (Boleh pelbagaikan)
Saya guna inti kacang merah secukupnya

Bahan untuk menyalut roti
1 biji putih telur - pukul dengan garfu
Serbuk Roti secukupnya

Cara membuat :

1. Campur tepung gandum, gula, susu tepung, yis dalam mangkuk besar. masukkan kuning telur, dan air sedikit demi sedikit sambil di uli hingga kenyal. 

2. Masukkan pula marjerin dan garam , uli lagi hingga adunan tidak melekat ditangan. Rehatkan doh selama 45 menit hingga mengembang dua kali ganda.

3. Kempiskan doh untuk membuang angin, potong doh seberat 25 gram setiap satu dan bulatkan. Rehatkan doh lagi selama 15 minit.

4. Leperkan doh, isi dengan inti secukupnya dan bentukkan. Celup ke dalam putih telur, golekkan ke dalam serbuk roti. 


5. Rehatkan lagi doh selama 10 minit, dan goreng dalam minyak yang banyak dan terendam hingga masak.


Assalamualaikum, 

Apa itu tepung suji? Ada yang pernah dengar tetapi belum pernah gunakannya dalam masakan. Hari ini saya ingin kongsikan bersama sedikit ilmu untuk yang belum tahu tentang tepung ini. Tepung suji terhasil daripada penyisihan kulit gandum ketika proses membuat tepung gandum. Warnanya sedikit keperangan dan berbutir-butir serta kadar proteinnya paling tinggi antara semua jenis tepung yang berasaskan gandum. Biasanya tepung ini digunakan untuk menghasilkan makaroni, spaghetti(berbagai jenis pasta), bijirin sarapan, puding, biskut dan juga kek.

Di samping itu tepung suji juga enak dibuat bingka. Kepada yang belum pernah mencuba rasa bingka suji, bolehlah ikut resipi ini. Rakan-rakan blogger telah ramai yang mencuba resipi yang sedap ini dan hari ini saya buat dan kongsikan pula diblog saya. 

BINGKA SUJI
Resipi asal : Jo's Deli & Bakery 

Bahan-bahan:
3 biji telur - Gred A
110gm gula kastor
160gm tepung suji
250ml santan pekat (saya campurkan santan kotak 200ml dengan 50ml air)
100ml jus pandan (kisar air dengan 6 helai daun pandan dan tapis)
1/4 sudu teh garam
340ml Air
90gm mentega
30gm tepung gandum - diayak

Cara membuatnya :

1. Gris loyang bersaiz 8 inci dengan mentega, ketepikan seketika.

2. Dalam mangkuk adunan, pukul telur dan gula sehingga gula larut. Tuang adunan tersebut kedalam periuk.
3. Masukkan tepung suji, santan, jus pandan, garam dan air kedalam adunan telur tadi.
4. Campurkan dan kacau sentiasa dengan spatula menggunakan api yang sederhana sehingga campuran menjadi pekat. Adunan sepatutnya menjadi seperti dalam gambar diatas ini.

5. Matikan api dapur, masukkan mentega dan tepung gandum. Kacau sehingga sebati dan tuangkan adunan ke dalam loyang yang disediakan.
7. Bakar dalam ketuhar yang bersuhu 190 ° C (375 ° F) selama 1 jam, sehingga perang keemasan.
8. Untuk 5 minit terakhir, set oven kepada api atas sahaja untuk mendapatkan kulit bingka yang perang keemasan serta rangup.

Assalamualaikum, 

Kalau beli pau dari luar, selalunya inti ciput sangat dan tak puas makan. Buat pau sendiri dirumah bolehlah letak inti ikut selera kita. Lagipun sedap makan panas-panas.

Contohnya di persekitaran tempat saya tinggal di Langkawi, kalau di tempat anda pula mungkin berbeza. kalau beli dari yang berjualan, habis murah pun sebiji 50 sen . Itu kira yang agak gebulah tapi intinya alahai, sikit sangat. Kalau yang dijual 3 biji seringgit tu pula paunya kecil-kecil dan agak keras, makan pun tak puas. 

Bukan nak kondem peniaga-peniaga yang mencari rezeki halal diluar sana, tapi itulah realitinya, walaupun tak semua macam tu. Mungkin juga harga barang semua mahal sekarang ni salah satu daripada penyebabnya.

Jadi...kalau nak pau yang gebu dan lembut jom kita uli sendiri. Sebelum tu bolehlah tengok langkah demi langkah yang saya sediakan ini. Terima kasih kepada kak Ton, tuan asal yang telah berkongsi resipi. 

PAU YANG GEBU DAN LEMBUT 
Bahan-bahan
2 1/2 cawan tepung pau diayak (pakai tepung gandum pun boleh)
3/4 sudu teh yis kering 
1/2 sudu teh baking powder 
4 sudu besar gula castor 
1 sudu besar lemak sayuran (shortening) 
1 sudu teh bread softener 
1/2 cawan air suam 

Cara membuatnya :

1. Satukan tepung, yis, baking powder, bread softener didalam mangkuk adunan. Uli sebati dengan memasukkan air suam sedikit demi sedikit. 
2. Masukkan lemak sayuran(shortening), uli lagi sehingga doh tidak melekat/licin. Saya hanya uli menggunakan tangan. 
3. Bahagikan doh kepada 12 bahagian Masukkan inti dan tutup kemas. 
4. Letakkan setiap pau diatas kertas empat segi (2" x 2 ") dan susun didalam pengukus. Rehatkan pau selama 45 minit didalam kukusan.

5. Didihkan air didalam periuk pengukus. Bila air mendidih, barulah diletakkan kukusan yang berisi pau tadi. Air perlu lah betul-betul panas/mendidih untuk mengukus pau bagi mendapatkan pau yg lembut dan gebu. Kukus selama 10 minit dan bolehlah diangkat.
6. Untuk inti, bolehlah menggunakan inti apa saja, mengikut kesukaan dan saya menggunakan inti kacang merah segera.

Assalamualaikum, 

Donat memang kesukaan anak-anak saya tak kiralah di letak topping atau cukup ditabur dengan gula icing sahaja. Membuatnya pula tidaklah sesukar mana, apalagi jika guna resipi asas seperti donat kampung ini. Ianya tidak menggunakan telur tetapi tetap naik gebu. Bahan-bahan yang digunakan pun semua ada didalam dapur rumah kita.

Dalam cuaca panas macam sekarang ini adunan senang naik kalau diperap, tetapi jika ingin mempercepatkan proses doh mengembang, boleh juga letakkan mangkuk yang berisi adunan yang telah diuli dan tutupkan dengan kain di atas oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu  tetapi telah dimatikan apinya. Ini hanyalah cadangan, tetapi jika perapkan pada suhu ruang pun ok juga, dan donat tetap menjadi. 

Nak cuba buat resipi donat kampung yang simple ini sendiri dirumah? Jom kita lihat resipinya :) 

DONAT KAMPUNG  
Bahan-bahan
250gm tepung gandum
1 sudu besar gula pasir
1 sudu besar susu tepung
125ml air sejuk dari petiais
1 sudu besar marjerin
1/2 sudu teh yis + 1/4 sudu teh gula pasir + 1 sudu besar air suam, campur kesemuanya dan biar sampai berbuih.

Cara membuatnya:

1. Campur tepung,gula pasir,susu tepung,bancuhan yis yang telah berbuih dan air sambil di uli. Masukkan marjerin kemudian uli lagi selama lebih kurang 15minit iaitu sehingga adunan kenyal dan tidak lekat ditangan.

2. Masukkan adunan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan kain atau plastik agar adunan mengembang.

3. Supaya adunan cepat naik dan cantik mengembang, boleh juga letakkan mangkuk yang berisi adunan tadi di atas oven yang telah dipanaskan terlebih dahulu tetapi telah dimatikan apinya selama 20minit. 

4. Setelah itu keluarkan doh dan tekan-tekan untuk mengeluarkan angin. Perapkan lagi adunan selama lebih kurang 30minit dan bolehlah diterap dengan acuan donat. 

5. Biarkan lagi selama lebihkurang 10 minit dan bolehlah digoreng. 

6. Setelah masak dan disejukkan, ayak gula icing keatas donat dan bolehlah dinikmati.  


Assalamualaikum,

Red Velvet pie dihiasi dengan cream cheese, nampak macam susah dan renyah kan...tapi sebenarnya mudah sahaja membuatnya dan sedapnya bukan main. Sesuai dihidangkan untuk sebarang majlis. 

Proses membuatnya juga tak lama kerana kulit pai yang saya kongsikan resipinya ini tidak perlu dikeluar masuk kedalam petisejuk. Selepas mengadun, terus gelekkan adunan dan masukkan kedalam loyang. Mudahkan? 

Baiklah...pada yang ingin mencubanya, jom kita lihat resipi dibawah ini.

RED VELVET PIE 
Bahan untuk kulit 
1 ¼  cawan tepung gandum 
¼  sudu teh garam
1/3 cawan shortening 
5 sudu besar air sejuk dari petiais

Cara membuatnya :

1. Masukkan tepung, garam halus dan shortening kedalam mangkuk pengadun dan putar sehingga adunan menjadi berbintil-bintil seperti serbuk roti. Boleh juga ramas dengan tangan.
2. Masukkan air sedikit demi sedikit sambil diuli. Jangan terlebih uli kerana kulit pai akan menjadi keras. cukup sekadar adunan bercampur menjadi doh.

3. Taburkan tepung gandum diatas doh dan gelek adunan mengikut ketebalan kulit pai yang dikehendaki. Tabur lagi sedikit tepung dan angkat kulit pai dan letakkan didalam loyang.


4. Bentukkan doh didalam loyang dan potong lebihan doh. Bakar kulit pai dalam 10minit didalam oven pada suhu 170'c. Sebelum dibakar pastikan cucuk permukaan kulit pai dengan garfu, lapikkan kertas dan letakkan pemberat seperti kacang hijau atau beras diatas kertas tersebut. Tujuannya supaya kulit pai dibahagian bawah tidak mengelembung. (Alahai saya terlupa pula nak ambil gambar step ini, harap-harap boleh faham) 

5. Setelah 10minit, keluarkan kulit pai dari oven dan alihkan kertas berisi pemberat tadi. Ketepikan seketika.

6. Sediakan filling Red velvet dan tuang kedalam kulit pai. Bakar lagi selama 45minit atau sehingga masak. Setelah sejuk, hiaskan dengan cream cheese dan bolelah dihidangkan. Untuk resipi cream cheese yang sedap boleh lihat DISINI.

RED VELVET (FILLING)
1 cawan mentega - dicairkan
1 cawan gula kastor
½ cawan tepung gandum
1 ½ sudu besar serbuk coklat
3 biji telur - Gred A
1 cawan buttermilk (campurkan 1 cawan susu cair dengan 1 sudu besar cuka)
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar pewarna merah

Cara membuatnya :

1. Masukkan mentega cair dan gula gula kastor kedalam mangkuk pengadun, pukul sehingga gula hancur.

2. Masukkan pula tepung gandum dan serbuk coklat sedikit demi sedikit dan putar lagi. 

3. Seterusnya masukkan telur sebiji demi sebiji sambil diputar dan masukkan pula buttermilk, esen vanilla dan akhir sekali pewarna merah. 

4. Kacau hingga sebati dan bercampur, bolehlah dituang kedalam kulit pai dan dibakar selama 45minit atau hingga masak.

Assalamualaikum, 

Kek coklat memang menjadi kegemaran ramai tak kira peringkat usia dan ada berbagai variasi kek coklat yang sedap-sedap belaka. Salah satu darinya adalah American Chocolate cake. 

Kek ini memang sedap hasil kombinasi serbuk koko dan juga kopi, iaitu serbuk nescafe yang saya bancuh dengan air panas terlebih dahulu. Kalau nak dapatkan kek coklat yang betul-betul sedap standing dengan yang dijual, saya sarankan guna serbuk coklat yang berkualiti, contohnya Van Houten. 

Walaupun dibakar, tekstur kek ini tetap ‘moist’ dan ianya juga lazat dinikmati walaupun tanpa ‘topping’

Teringin nak cuba untuk keluarga dirumah? Jom Kita lihat resipinya.

AMERICAN CHOCOLATE CAKE 
Bahan A 
2 Cawan Tepung Gandum 
¾ cawan serbuk koko 
2 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat

Bahan B
2 cawan gula kastor
2 biji telur – Gred A
1 cawan susu segar 
1 cawan minyak jagung 
1 sudu teh esen vanilla

Bahan C
1 sudu teh Nescafe
1 cawan air panas

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 170’c dan lengserkan Loyang dengan mentega dan lapik dengan kertas. 

2. Ayak tepung dengan serbuk koko, baking powder dan soda bikarbonat. Ketepikan seketika.
3. Masukkan semua bahan B kedalam mangkuk pengadun dan putar seketika hingga semua bahan bercampur.
4. Masukkan pula tepung yang diayak tadi sedikit demi sedikit kedalam bahan B dan kacau hingga sebati.
5. Seterusnya masukkan bancuhan air nescafe dan kacau rata.
6. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar dalam 45minit atau sehingga kek masak.

Ada berbagai resipi topping mudah untuk dicuba, tetapi untuk American Chocolate cake ini saya gunakan resipi topping ini.

Resipi Topping/Ganache
Bahan-bahan
200gm coklat masakan 
1 sudu besar susu pekat manis bancuh dengan air jadikan 100ml
1 sudu teh mentega
Cara membuatnya:

1. Gunakan kaedah double boiler, patah-patahkan coklat masakan dan masukkan kedalam periuk bersama bancuhan susu pekat.

2. Masak sehingga coklat cair dan padamkan api dapur. 

3. Kacau coklat dan masukkan mentega. 

4. Biarkan coklat sejuk dan bolehlah hiaskan diatas kek.

Assalamualaikum, 

Kalau suka kek yang simple dan tak muak untuk digandingkan dengan kopi panas di pagi atau petang hari, kek santan pandan simple ini memang sesuai. Adunannya tidak menggunakan mentega ataupun minyak tetapi tetap gebu dan lembut. 

Resipinya sangat simple tetapi pastikan telur, gula dan ovelette (Step 2) dipukul benar-benar gebu dan putih sebelum ikuti langkah seterusnya. Jika ikuti langkah-langkah yang saya sediakan dibawah ini, pasti kek yang dihasilkan menjadi gebu seperti yang diingini. Oleh kerana anak-anak yang nak makan kek ini, saya hiaskan dengan butter krim ringkas agar lebih sedap.

Jom kita lihat resipinya :) 

KEK SANTAN PANDAN SIMPLE 
Bahan-bahannya
5 biji telur - Gred A
250gm gula kastor 
1 sudu teh ovellete
300gm tepung gandum 
1 sudu teh baking powder
200ml santan - santan kotak 
pes pandan secukupnya

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven kepada suhu 180'c dan lengserkan loyang. 

2. Satukan telur, gula pasir dan ovellete dan pukul sehingga benar-benar gebu.


2. Adunan seharusnya seperti gambar dibawah ini.


3. Seterusnya masukkan tepung gandum yang telah diayak dengan baking powder. Masukkan sedikit demi sedikit dan kacau (kaup balik) dengan spatula hingga tepung habis.
4. Tuang pula santan kotak dan kacau lagi dengan spatula sehingga bercampur dengan adunan.

5. Akhir sekali masukkan pes pandan dan kacau hingga sebati. Tuang kedalam loyang dan bolehlah dibakar pada dalam tempoh 40minit atau sehingga masak (bergantung kepada oven masing-masing).

Resipi butter cream ringkas
125gm mentega
125gm gula icing
1 sudu teh esen vanilla/pandan

Cara membuatnya : 

1. Ayak dahulu gula icing. 

2. Putar dengan kelajuan yang tinggi gula icing bersama mentega dan esen vanilla sehingga gebu dan ringan.

3. Bolehlah dihias diatas kek tadi.

Assalamualaikum, 

Salam pagi isnin dan selamat memulakan kerja bagi yang bercuti hari minggu semalam. Hari ini sekolah pun dah mula buka seperti biasa, dan rutin berputar lagi. 

Dah lama tak update blog, kan...jadi hari ini bolehlah kita sama-sama berkongsi resipi untuk dicuba. Sebenarnya roti kentang guna doh donat ini saya buat masa cuti sekolah minggu lepas untuk anak bujang bawa balik keasrama setelah cuti berakhir. Resipinya saya ambil dari blog Yatie memories...terimakasih ye yatie :) Saya Buat dua adunan...satu adunan saya buat donat dan satu adunan lagi ni saya bentukkan menjadi bun. Tekstur rotinya...benar-benar lembut dan puas makan. 

Saya hanya menggunakan tangan untuk menguli, cuma adunannya agak lembik dan melekat di tangan sedikit ketika menguli tapi percayalah, memang berbaloi mencuba kerana rotinya memang mantap dan lembuutt sangat. 

ROTI KENTANG DARI DOH DONAT 
Bahan-Bahan
500 gram tepung gandum (saya guna tepung protin tinggi)
200 gram kentang yang telah direbus - dilenyek
4 sudu besar susu tepung
1 biji telur (dipukul sedikit)
200 ml air suam
3 sudu besar marjerin
3 sudu besar gula
2 sudu teh yis
sedikit bijan

Bahan B - Dipukul (untuk disapukan atas roti) 
1 biji telur
1/2 cawan susu segar
beberapa titis madu

Caranya.

1. Masukkan semua bahan (kecuali bijan) dalam bekas adunan dan uli hingga tidak melekat pada tangan. Jika menguli dengan tangan, masukkan air sedikit demi sedikit dan pastikan Doh betul-betul lembut. Uli selama 8 hingga 10 minit. 
2. Kemudian perap doh dan tutup bekas adunan dengan plastic wrap dan biar doh naik dua kali ganda. Masa perapan lebih kurang 40 minit atau 1jam.

3. Selepas itu tumbuk-tumbukkan doh bagi mengeluarkan angin. bahagi doh pada beberapa bahagian kecil dan susun didalam loyang. Biarkan adunan naik  dua kali ganda.
4. Panaskan oven pada suhu 170'c dan sapu permukaan doh tadi dengan bahan B, taburkan sedikit bijan. Bakar didalam oven selama 15 - 20minit dan sapukan dengan mentega sebaik sahaja roti keluar dari oven.

Assalamualaikum, 

Sarapan paling senang dan bagi anak-anak yang sukakan spaghetti mesti suka sandwich sosej simple ni. Apa kaitannya dengan spaghetti pula ye?  Sebabnya saya gunakan sos spaghetti cendawan Kimball (boleh guna jenama dan perasa lain juga) untuk memasak sosej yang di panggang terlebih dahulu dengan mentega. Simple kan? Ada citarasa Itali gitu... 

Kalau anda tidak ada idea dan ingin sediakan sarapan yang ringkas untuk anak-anak bolehlah cuba resipi ni. Sekejap je dah siap :) 

SANDWICH SOSEJ SIMPLE
Bahan-bahan 
Roti Hotdog secukupnya
1 peket sosej
1 ulas bawang putih - dicincang
1 labu bawang holland - dicincang 
1 sudu besar cili kisar 
1 botol sos spagetti cendawan - Kimball
Seasoning (perasa) - Saya guna jenama maggi

UNTUK HIASAN DIATAS SANDWICH SOSEJ
Mayonis
Tomato ceri
Daun salad
Parutan keju cheddar & mozarella secukupnya

Cara membuatnya: 

1. Kelar sosej, panaskan kuali dan masukkan 1 sudu besar mentega. Bakar sosej dan balik-balikkan.

2. Tumis bawang holland dan bawang putih hingga wangi dan masukkan cili kisar dan 1/2 botol sos spaghetti.


3. Seterusnya masukkan sosej yang dibakar kedalam sos dan kacau hingga sebati. 



4. Setelah secukup rasa, bolehlah matikan api dapur. Belah roti hotdog, masukkan daun salad, sosej beserta kuah spaghetti, mayonis, hirisan tomato dan tabur dengan keju cheddar secukupnya. Bolehlah dihidangkan :) 



Assalamualaikum & selamat berhari minggu.

Cuti sekolah pertengahan penggal 1 telah bermula, jadi ada yang mengambil peluang untuk bercuti bersama keluarga dan anak-anak. Bagi saya, tidak kemana-mana kerana terpaksa bekerja. Tetapi cuti hari minggu semalam saya ada buatkan Japanese cotton cheese cake untuk dihidangkan kepada anak-anak. Seronok buat kek bila anak-anak semua berkumpul. Meriah dibuatnya dan cepat je laris.

Sebenarnya tidaklah sesukar mana buat japanese cotton cheese cake ni. Jom intai resipinya :) 
JAPANESE COTTON CHEESE CAKE
Bahan-Bahan
228gm cream cheese
200ml susu segar
60gm mentega
6 biji telur gred A - Asingkan telur putih dan kuning
1 sudu teh esen vanilla
140gm gula kastor
60gm tepung gandum
20gm tepung jagung

1. Panaskan oven pada suhu 150'c. Lapik loyang dengan kertas kek dan sediakan bekas untuk dibakar menggunakan teknik water bath. 

2. Cairkan cream cheese, mentega, susu segar didalam satu bekas dan sejukkan seketika.


2. Didalam mangkuk pengadun, pukul kuning telur dan gula hingga gebu. Masukkan cream cheese yang dicairkan dan pukul lagi.


3. Seterusnya ayak tepung gandum dan tepung jagung kedalam adunan dan pukul lagi. Ketepikan seketika.

4. Pukul putih telur hingga menjadi kaku dan kaup balik dengan adunan tadi.
5. Masukkan adunan kedalam loyang dan bakar dalam tempoh 1 jam 20 minit menggunakan kaedah bain marie atau water bath, dimana masukkan air panas kedalam loyang dan masukkan loyang berisi adunan kek kedalamnya lalu bakar menggunakan oven. 

6. Setelah kek masak, buka pintu oven dan biarkan kek selama lebih kurang 20minit didalam oven. Fungsinya agak kek tidak mendap.