BINGKA SUJI

Assalamualaikum, 

Apa itu tepung suji? Ada yang pernah dengar tetapi belum pernah gunakannya dalam masakan. Hari ini saya ingin kongsikan bersama sedikit ilmu untuk yang belum tahu tentang tepung ini. Tepung suji terhasil daripada penyisihan kulit gandum ketika proses membuat tepung gandum. Warnanya sedikit keperangan dan berbutir-butir serta kadar proteinnya paling tinggi antara semua jenis tepung yang berasaskan gandum. Biasanya tepung ini digunakan untuk menghasilkan makaroni, spaghetti(berbagai jenis pasta), bijirin sarapan, puding, biskut dan juga kek.

Di samping itu tepung suji juga enak dibuat bingka. Kepada yang belum pernah mencuba rasa bingka suji, bolehlah ikut resipi ini. Rakan-rakan blogger telah ramai yang mencuba resipi yang sedap ini dan hari ini saya buat dan kongsikan pula diblog saya. 

BINGKA SUJI
Resipi asal : Jo's Deli & Bakery 

Bahan-bahan:
3 biji telur - Gred A
110gm gula kastor
160gm tepung suji
250ml santan pekat (saya campurkan santan kotak 200ml dengan 50ml air)
100ml jus pandan (kisar air dengan 6 helai daun pandan dan tapis)
1/4 sudu teh garam
340ml Air
90gm mentega
30gm tepung gandum - diayak

Cara membuatnya :

1. Gris loyang bersaiz 8 inci dengan mentega, ketepikan seketika.

2. Dalam mangkuk adunan, pukul telur dan gula sehingga gula larut. Tuang adunan tersebut kedalam periuk.
3. Masukkan tepung suji, santan, jus pandan, garam dan air kedalam adunan telur tadi.
4. Campurkan dan kacau sentiasa dengan spatula menggunakan api yang sederhana sehingga campuran menjadi pekat. Adunan sepatutnya menjadi seperti dalam gambar diatas ini.

5. Matikan api dapur, masukkan mentega dan tepung gandum. Kacau sehingga sebati dan tuangkan adunan ke dalam loyang yang disediakan.
7. Bakar dalam ketuhar yang bersuhu 190 ° C (375 ° F) selama 1 jam, sehingga perang keemasan.
8. Untuk 5 minit terakhir, set oven kepada api atas sahaja untuk mendapatkan kulit bingka yang perang keemasan serta rangup.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)