KERABU TEMBIKAI BERLEMON

Assalamualaikum, 


Pernah makan tak kerabu tembikai? Rasanya kerabu ni lebih dikenali di utara semenanjung Malaysia atau tepatnya di Kedah dan Perlis. Tetapi mungkin juga ada tempat di negeri-negeri lain sinonim dengan kerabu ini yang tidak saya ketahui. Kerabu ni sebagai pembuka seleralah dan penyediaannya sangat simple. Selalunya ia digandingkan dengan nasi panas bersama lauk pauk yang lain. 

Bagi saya keenakan kerabu ini adalah kombinasi rasa manis, masam dan pedas. Resipi asal tidak letak lemon tetapi saya suka kerabu ini ada rasa masam sedikit dan harmoni dengan kepedasan cili padi.

Tembikai untuk buat kerabu ini sebenarnya adalah pemberian seorang penjual tembikai yang mempunyai kebun yang diusahakan sendiri. Kebetulan saya berhenti membeli dua biji tembikai dipinggir jalan ketika perjalanan ke airport Langkawi semalam dan penjualnya bermurah hati memberi sebiji lagi tembikai yang agak kecil secara percuma dan cadangkan saya memasak sayur tembikai atau buat kerabu. Yang paling mudah dan cepat pada fikiran saya ketika itu adalah kerabu dan inilah hasilnya. 

Jom kita lihat bagaimana nak hasilkan kerabu tembikai berlemon ni.

KERABU TEMBIKAI BERLEMON
Bahan-bahan
Sebiji tembikai saiz kecil dipotong empat - guna 1/4 daripadanya
7 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan - dibakar 
secubit garam 
5 ulas bawang merah - dimayang 
1 sudu teh perahan lemon 

Cara membuatnya :

1. Kikis isi tembikai dengan sudu dan masukkan kedalam mangkuk. Sejat air tembikai dan ambil isinya sahaja untuk mengelakkan daripada kerabu terlebih berair.

2.  Ramas belacan bersama air lemon dan masukkan garam. 

3. Tuang bahan tersebut kedalam bekas berisi hirisan bawang merah dan cili padi sambil digaul.

4.  Seterusnya masukkan isi tembikai tadi kedalam bahan tersebut dan gaul lagi hingga rata. Pastikan secukup rasa dan bolehlah dihidangkan dengan nasi panas beserta lauk-lauk yang lain.


0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)