MILO COKLAT MUFFIN

Assalamualaikum, 

Dah lama tak buat muffin untuk minum petang. Anak-anak selalu juga bagi hint nak muffin tapi mama ni entah apa sibuknya, selalu sahaja tidak ada masa, padahal nak membuatnya bukan susah sangatpun. Satukan bahan kering dan basah, sudukan kedalam paper cup dan bakar...itu sahajalah prosesnya.

Milo coklat muffin ini saya buat malam tadi sambil menunggu si bongsu siapkan latihan kerja rumah yang diberi oleh cikgu. Eh memang cepatpun prosesnya...tak sempat dia habiskan latihan, muffin pun dah masak. Dapatlah dia merasa muffin panas-panas dan lepaslah agaknya kempunan selama ini. 

Muffin ini rasanya manis-manis buah dan sesuailah untuk orang dewasa yang kurang makan manis. Jom kita lihat resipi dibawah ini :) 
MILO COKLAT MUFFIN 
Bahan A
1 3/4 cawan tepung gandum 
1/4 cawan serbuk coklat
1 sudu kecil baking powder 
1 sudu becil soda bikarbonat 
1/4 cawan serbuk milo
3/4 cawan gula perang 
1/2 sudu kecik garam halus 

Bahan B
1 cawan susu segar 
1 biji telur gred A - di pukul sedikit 
1/3 cawan minyak masak 
1 sudu kecil esen vanila
coklat chips secukupnya 

 Cara membuatnya :

1. Ayak tepung gandum bersama dengan serbuk coklat, baking powder dan soda bikarbonat. Satukan dengan serbuk milo, gula perang dan garam halus didalam mangkuk besar. Kacau hingga bercampur dan ketepikan seketika.

2. Didalam bekas lain, satukan susu cair, telur esen vanila dan minyak masak sambil dikacau hingga sebati.

3. Tuang bahan basah tadi kedalam bahan A dan kacau rata menggunakan spatula. Jangan terlebih kacau kerana tekstur muffin akan menjadi keras. Cukup sekadar semua bahan bercampur.
 

4. Sudukan adunan kedalam cawan muffin dan tabur dengan coklat chips dan hirisan almond.

5. Bakar didalam oven selama 20minit atau sehingga masak (saya guna api atas bawah), suaikan dengan oven masing-masing. Setelah muffin masak sejukkan diatas redai dan bolehlah dihidangkan.