Assalamualaikum, 


Bingka telur ni saya buat untuk minum petang dengan keluarga pada hari minggu yang lepas. Idea nak buat bingka ni timbul bila melihat rimbunan daun pandan yang menjadi-jadi dibelakang rumah ibu dan tidak terurus. Bimbang juga jika makin dibiarkan jadi sarang makhluk berbisa...apalagi dimusim panas begini. Jadinya saya potong daun pandan, separuhnya saya simpul dan jadikan sebagai 'air freshner' dalam kereta, dalam almari pakaian dan separuhnya lagi simpan untuk buat kuih bingka telur.

Bila gunakan pati sebenar dari daun pandan yang dikisar buatkan bau wangi semerbak memenuhi dapur sampai ke ruang tamu ketika membakar bingka ini. Resipi bingka telur ini pula saya ambil disini dan dah ramai blogger yang mencubanya serta dah banyak berlegar di media sosial.

Bagi yang ingin mencubanya...saya kongsikan sekali lagi resipi di bawah ni. Jom lihat step by step tutorial yang saya sediakan.
BINGKA TELUR
Bahan-bahan
6 biji telur
2 cawan air daun pandan (atau 2 cawan air + pewarna kuning)
2 kotak santan (200ml x 2) atau santan pekat
3 cawan tepung gandum
2 cawan gula
1 sudu teh garam
4 sudu mentega -cairkan

Cara-cara

1. Gunting daun pandan secukupnya dan masukkan kedalam blender bersama 2 cawan air. Kisar hingga halus dan tapis.


2. Masukkan air pati pandan yang ditapis tadi kedalam blender bersih. Pecahkan telur kedalam mangkuk dan masukkan juga kedalam blender tersebut.


3. Masukkan juga gula pasir, tepung, garam, mentega cair dan santan kedalam blender dan kisar hingga halus dan tidak berketul.


4. Seterusnya masukkan 1 sudu minyak masak kedalam loyang, lengserkan  dan masukkan loyang kedalam oven. Bila loyang sudah panas, tuang adunan yang dikisar tadi dan masak dengan api atas dan bawah sehingga perang. Saya setkan oven pada suhu 180'c dan bakar selama 1 1/2 jam.


Assalamualaikum, 


Dah lama tak buat laksa. Kalau teringin pun saya makan di luar, tetapi...tak puas rasanya dan tak boleh ulang-ulang makan. Ada berbagai versi laksa ni dan yang saya buat semalam adalah laksa utara yang ada sedikit kelainan iaitu masukkan sedikit isi ikan tenggiri masam yang di goreng dan tumbuk halus kedalam kuahnya. Soal rasa...memang sedap sangat dan ada kelainan dari kuah laksa yang saya buat sebelum ini. 

Seperti biasa, ketika menghidang laksa...masukkan juga hirisan timun, pucuk gajus@pucuk putat, hirisan bawang besar atau hirisan cilipadi jika suka. Jika telur rebus pula saya suka telur yang agak separuh masak (tidak terlalu keras).

Baiklah jom cuba masak laksa utara. Kali ini resipi saya ambil dari FB Cheff Is. Bagi yang ingin mencuba resipinya ada dibawah ini tapi saya dah ubah sedikit jumlah bahan-bahannya kerana hanya buat 1/2 Kg ikan sahaja, iaitu separuh dari resipi asal.


LAKSA UTARA
1/2 Kilogram ikan sardin (saya guna ikan kembung)
6 keping asam gelugur 
1/2 genggam daun kesum 
1 kuntum bunga kantan - dibelah 4
Garam dan gula secukup rasa
serbuk perasa - jika suka 
1 ketul ikan tenggiri masam - digoreng, asingkan tulang dan tumbuk hingga halus

Bahan Kisar 
20 tangkai cili kering - digunting, rebus dan toskan
1 inci belacan 
4 labu bawang besar  

Cara membuatnya :

1. Siang ikan, cuci bersih dan rebus dengan 2 keping asam gelugur. Setelah itu kisar dan tapis tulangnya. 

2. Siapkan juga bawang besar, belacan dan cili kering. Kisar hingga halus.

3. Masukkan isi ikan yang ditapis kedalam periuk beserta cili kisar tadi.

4. Seterusnya masukkan baki 4 keping asam gelugur, daun kesum, bunga kantan, garam dan gula@serbuk perasa secukupnya.


5.  Akhir sekali masukkan isi ikan tenggiri masam dan masak kuah hingga mendidih. Bolehlah dihidangkan bersama laksa yang siap direbus berserta ulam-ulaman.

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca yang sudi singgah diblog ini. Bagi yang sedang bercuti, masak apa hari ini? Bagi saya yang ringkas sahaja kerana mengejar masa kerana harus hantar anak ke 3 ke untuk sesi persekolah waktu petang seawal jam 12 tengahari, manakala si bongsu yang bersekolah pagi pula akan pulang dan hanya singgah sebentar sahaja dirumah sebelum ke kelas pengajian al quran. 

Boleh bayangkan tak betapa sibuknya saya jika bercuti pada hari ahad kerana di Kedah cuti mingguan persekolahan adalah pada hari Jumaat dan sabtu. Tapi walaupun sibuk saya bahagia menjadi 'supir' tak rasmi kepada anak-anak pada hari minggu :)

Baiklah untuk resipi hari ini, simple sahaja iaitu Ikan masak cuka sedap. Resipi asal saya ambil dari rumah kak nor dan terimakasih untuk resipi ringkas ini. Walaupun resipi lauk sehari-hari lebih kurang je persamaannya dengan yang kita masak, saya tetap suka mencuba dari blog teman-teman blogger jika ada kelapangan. 

Bagi yang suka lauk ringkas macam ni, jom cuba. Boleh je tukar dengan ikan-ikan jenis lain.

IKAN MASAK CUKA SEDAP
Bahan-bahan
1 ekor ikan siakap saiz sederhana - dipotong (boleh juga gantikan dengan ikan lain)
1/2 sudu kecil garam
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
1 labu bawang besar - dipotong baji/wedges
2 ulas bawang putih - dihiris
1/2 in halia - dihiris
2 biji cili merah  - dihiris serong
5 - 7 biji cili padi
1/2 sudu kecil biji sawi
1/2 sudu kecil serbuk kunyit
400ml air
3 sudu besar cuka
1/2 batang lobak merah - dipotong
1/2 batang timun - dipotong (buang bahagian empulur)
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak : 

1. Goreng ikan yg telah dilumurkan garam dan serbuk kunyit hingga masak dan sedikit garing. Ketepikan.

2. Buangkan minyak dan tinggal lebih kurang 3 sudu besar sahaja dan tumis bawang merah, bawang putih dan halia hingga terbit bau.

3. Masukkan cili merah, cili padi, biji sawi dan serbuk kunyit. Goreng seketika.
Masukkan air dan cuka dan biarkan hingga mendidih.

4. Masukkan garam dan gula, lobak merah dan ikan yg telah digoreng tadi.

5. Biarkan mereneh sekejap (supaya rasa masam2 kuah meresap pada isi ikan) dan masukkan timun. Masak seketika kemudian bolehlah dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Dah hampir seminggu tak sedap badan dan demam, Alhamdulillah hari ni rasa OK sedikit dan mula teringin nak makan nasi dengan lauk simple pembuka selera. Bila ke Pasar pagi tadi saya belilah sebungkus ikan gelama kering dan bila fikir-fikir, sedap pula gandingkan dengan masak lemak kobis dengan sotong. Kebetulan, Pulau Langkawi sekarang ni banyak bekalan sotong dan aktiviti mencadat sotong memang meriah dikalangan nelayan dan pelancong pada waktu malam.

Baiklah, sebaik sahaja balik dari pasar saya terus masak dan resipi masak lemak kobis ini saya skodeng dari rumah Cik Mat Gebu, cuma saya ubah suai sedikit ikut bahan yang ada dirumah ni. Simple je resipinya tapi...tersangatlah sedap, secukup rasa. Jom kita jamu mata...pada yang teringin nak masak, bolehlah ikut resipi dibawah ni atau selusuri link blog Cik Mat untuk resipi asal.

MASAK LEMAK KOBIS DENGAN SOTONG
Bahan-bahan
1/2 biji kobis bulat saiz sederhana - dihiris, cuci dan toskan
1 tangkai cili merah - di mayang
5 ekor sotong - di hiris tak putus 
1200 ml santan cair
400 ml pati santan
2 sudu besar udang kering - rendam 10 minit, tos dan tumbuk kasar
1 biji bawang besar- hiris halus
4 ulas bawang putih-  diketuk
Garam dan gula secukup rasa
Air jika perlu

Cara membuatnya : 

1. Bersihkan sotong don potong tak putus.

2. Masukkan bawang besar, bawang putih, sotong dan udang kering kedalam periuk bersama santan cair. Kacau dan masak hingga mendidih. 

3. Masukkan kobis dan gaul rata. Masak sekejap.

4. Tuang sedikit air jika perlu. Kacau, masukkan cili merah. Tambah pati santan dan perasakan dengan garam secukup rasa dan sedikit gula. Kacau perlahan dan biar mendidih dengan api kecil sambil dikacau selalu. 
Rasa dan jika sudah secukup rasa boleh matikan api dapur.
Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat, penghulu segala hari. Bagi yang sedang bercuti hari ni, rancang nak masak apa tu? Apa kata masak asam pedas ayam dengan sawi jeruk untuk hidangan keluarga tengahari ni? Sedapnya bukan main lagi, boleh dimakan dengan nasi putih atau dicicah begitu sahaja dengan roti putih.

Resipi asal saya ambil dari blog aziejaya dan ubah suai sedikit ikut bahan yang ada didapur. Terima kasih juga kepada pemilik asal resipi fidadaud - my-R. Jom lihat bahan-bahannya dan selamat mencuba :) 
ASAM PEDAS AYAM DENGAN SAWI JERUK
Bahan-bahan
1 ekor ayam - dipotong kecil
1 batang serai - diketuk
Daun kesum
Sekuntum bunga kantan - dibelah 5
Air asam jawa (50gm asam jawa + secawan air)
3 cawan air
Sedikit lada hitam - tumbuk kasar
Garam secukup rasa
Minyak untuk menumis
sawi jeruk secukupnya

Bahan kisar
35 tangkai cili kering - gunting, rendam air panas dan toskan
7 ulas bawang merah
5 ulas bawang putih
1 inci kunyit
1 inci halia
Sebesar saiz ibu jari belacan

Cara-cara

1. Panaskan minyak. Tumis bahan-bahan yang dikisar bersama serai sehingga garing.
2. Masukkan ayam, bunga kantan, daun kesum. Gaul sebati dan tutup kuali sehingga ayam agak mengecut.
3. Masukkan air asam jawa dan kacau hingga sebati. Masukkan pula garam dan lada hitam. Gaul sebati.Tambahkan air secukupnya.
4. Akhir sekali masukkan sawi jeruk, tutup kuali dan tunggu sehingga ayam empuk serta mendapat kepekatan kuah asam pedas yang ideal. 
5. Setelah masak boleh lah diangkat dan dihidangkan.

Assalamualaikum, 

Siakap bakar masak lemak ini sedapnya memang buatkan nasi bertambah-tambah. Nak masak pun simple sahaja dan saya guna resipi masak lemak ala-ala nogori. Ikan siakap ni pula saya bakar dalam non stcick pan sambil-sambil sediakan bahan kisar. Sekejap je dah siap sebab saya bakar tidak terlalu garing.

Cadangan awal tu nak masukkan belimbing buluh dalam masakan ni sebab disini memang musim belimbing buluh galak berbuah. Sudah saya kutip belimbing secukupnya dan daun kunyit ketika berkunjung ke rumah ibu. Dah rancak berbual-bual tu, bila sampai rumah baru sedar semua tertinggal disana. Agaknya tak ada rezeki untuk masakan ni. Sudahnya saya masukkan asam gelugur dan walaupun tanpa daun kunyit siakap bakar masak lemak ni tetap sedap dan terangkat. Alhamdulillah anak-anak pun suka. 

Jom try masak :)  

SIAKAP BAKAR MASAK LEMAK
Bahan-bahannya
1 ekor ikan siakap saiz sederhana 
2 batang serai - diketuk
1 helai daun kunyit - disiat-siat (saya tak letak sebab tak ada stok)
500ml santan cair
100ml santan pekat
2 keping asam gelugur
Garam
Serbuk perasa - jika suka

Bahan Tumbuk
20 tangkai cili api
1 inci kunyit hidup

Cara membuatnya :

1. Bersihkan ikan dan gaul dengan garam. Bakar didalam nonstick pan sambil dialih-alihkan biar sekata dan angkat (Jangan bakar terlalu garing). Ketepikan seketika.


2 Masukkan bahan tumbuk, santan cair serta serai yang diketuk tadi dan asam gelugur kedalam ke dalam periuk. Masak hingga mendidih dan kecilkan api dapur.


3. Selepas itu masukkan pula santan pekat dan isi siakap yang dibakar tadi. Jika kuah terlalu pekat bolehlah ditambah sedikit air lagi.


4. Masak hingga mendidih dengan api sederhana dan dikacau selalu untuk mengelakkan santan pecah minyak. Perasakan juga dengan garam, gula dan serbuk perasa(jika suka). Bila ikan sudah masak, tutup api dan bolehlah hidangkan.

Assalamualaikum, 


Cupcakes pisang ini saya buat malam tadi. Simple sahaja resipinya hanya pakai blender, kacau dan bakar didalam oven. 

Walaupun ruang untuk berblogging dan muncul di media sosial semenjak kebelakangan ini agak terbatas tetapi jika ada kelapangan InshaAllah saya cuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan resipi dari sahabat maya dan kali ini sahabat di Instagram iaitu yat1990 meminta resipi cupcakes pisang.

Selamat mencuba untuk yat1990 dan pengunjung blog yang saya hargai <3 :) 

CUPCAKES PISANG
Bahan-bahan
2 cawan tepung gandum (ayak dengan 1sudu teh soda bikarbonat & 1 sudu teh baking powder)
Pisang emas 6 hingga 7biji
Telur gred A - 3biji
1 cawan gula pasir 
1 cawan minyak masak & 1 sudu teh esen pisang
                                          
Cara membuatnya :

1. Ayak tepung gandum dengan soda & baking powder ke dalam mangkuk besar.

2. Masukkan pisang, telur, gula pasir, minyak masak dan esen pisang kedalam blender dan kisar hingga halus. Seterusnya tuang kedalam tepung gandum tadi.

3. Kacau hingga sebati dengan whisk dan tuang kedalam loyang. 

4. Bakar pada suhu 180'c selama lebih kurang 20minit ataupun sehingga cupcakes masak.

 5. Setelah sejuk bolehlah dihias dengan butter cream. 
RESIPI BUTTERCREAM MUDAH
70gm mentega
140gm gula icing
1 sudu besar susu segar
beberapa titis pewarna kegemaran

Cara membuatnya :

1. Pukul mentega dan gula didalam mangkuk besar hingga sebati.

2. Jika adunan pekat masukkan susu cair sedikit demi sedikit hingga mendapat tekstur yang lembut dan berkrim.

3. Warnakan dengan pewarna kegemaran dan sudukan kedalam piping bag. Bolehlah digunakan untuk menghias cupcakes.
Assalamualaikum, 

Dah lama benar tak update blog. Iyelah...dah sampai penghujung bulan februari ni rupanya baru sekali saya publish entry. Itupun awal bulan dulu. Taklah 'super' sibuk sangat pun, tapi semenjak kebelakangan ini malas benar rasanya nak menaip entry. 

Lagipun masak menu yang simple-simple sahaja untuk hidangan keluarga sehari-hari dan ramai yang dah tahu masakan tersebut, contohnya Udang Goreng Kunyit macam entry hari ni. Simple sangatlah, main kacau goreng gitu...dahpun siap. Tapi jangan tak tahu, walaupun simple sedap tau makan dengan nasi panas-panas.

Jom kita lihat resipinya :) 
UDANG GORENG KUNYIT
500 gm udang saiz sederhana 
Serbuk kunyit
Garam
Gula
6 tangkai kacang panjang 
2 ulas bawang putih - dihiris
1 labu bawang besar - dihiris
1 biji cili merah - dihiris
1 helai daun limau purut - dicarik dan buang urat tengahnya

Cara membuatnya :

1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang putih sehingga wangi. Masukkan udang yang digaul garam kunyit. Goreng seketika.
2. Masukkan kacang panjang dan goreng sehingga agak lembut.
3. Setelah itu masukkan daun limau purut, bawang besar dan cili merah. Kacau rata. Perasakan dengan sedikit gula dan sesuaikan rasa garamnya.
4. Setelah masak bolehlah matikan api dapur dan hidangkan.
 
Assalamualaikum, 


Rendang pedas dan nasi lemak merupakan gandingan mantap untuk sarapan pagi dan menjadi kegemaran kebanyakan daripada rakyat Malaysia. Tetapi sudah menjadi trending sekarang, nasi lemak bukan sahaja dinikmati diwaktu pagi tetapi juga banyak dijual diwaktu malam. Bagi yang diet tu boleh sahaja sesekali menikmati sajian yang lazat ini, inshaAllah esok boleh start diet semula kan :D   

Resipi rendang ayam pedas ini saya ambil dari blog kak Liza dan gandingkan dengan nasi lemak simple sahaja. Jom kita lihat resipinya.
RENDANG PEDAS AYAM
Bahan-Bahan: 
1 ekor ayam 
2 cawan santan pekat - 1 biji kelapa
1/2 cawan kerisik
2 helai daun kunyit - dimayang halus atau koyakkan
garam secukup rasa

Bahan Kisar
3 labu bawang besar
5 ulas bawang putih
5 batang serai
3 inci halia
1 inci lengkuas
1 inci kunyit hidup
15 cili kering - rendam dengan air panas dan toskan
25 biji cili api

Cara memasak 

1. Ayam dibuangkan kulit dan potong kecil. Basuh dan toskan.

2. Masukkan semua bahan-bahan ke dalam kuali besar dan kacau hingga sebati.

3. Masak dengan api sederhana sehingga ayam lembut dan kuahnya pekat dan naik minyak.
4. Rasakan garam dan bila telah pekat boleh hidangkan.

NASI LEMAK
Bahan-bahan
2 cawan Beras - basuh dan toskan
3 cawan santan 
Halia - hiris nipis
3 ulas bawang merah - dimayang 
2 helai daun pandan yang disimpulkan
Sedikit garam

Cara memasak:

Masukkan semua bahan kedalam periuk elektrik dan tanak seperti nasi biasa.