KUIH LAPIS KELEDEK UNGGU

Assalamualaikum,


Malam tadi saya mencuba resepi kuih lapis keledek unggu setelah menggodek-godek resepi dari blog kak Wan (citarasawan). Sedap kuih ni, cukup lemak manisnya dan warnanya juga cantik..mungkin kerana ungu ni warna kegemaran, ton warnanya cukup memikat sekali pada pandangan saya.

Membuatnya juga tidaklah sesukar yang di bayangkan, cuma memerlukan sedikit kesabaran mengukus selapis demi selapis.

KUIH LAPIS KELEDEK UNGGU 
Sumber : citarasawan.blogspot.com

Bahan-bahan (saiz loyang 8' x 8' - gris dengan minyak masak terlebih dahulu)
250g tepung beras
70g tepung ubi kayu
250g gula pasir
200gm keledek yang telah direbus (dan lecek ketika masih panas)
450ml santan pekat 
450ml air
1/2 sudu teh garam
2 helai daun pandan 
beberapa titis pewarna unggu

Cara membuat:

1. Satukan tepung beras dan tepung ubi dalam mangkuk besar. Ketepikan.

2. Masak santan, daun pandan, air, garam dan gula hingga mendidih. Keluarkan daun pandan. Tuang ke dalam mangkuk berisi tepung, kacau dengan cepat hingga sebati. Ambil 300ml adunan, masukkan keledek lecek dan kisar di dalam blender hingga halus.


3. Satukan semula adunan tadi, kacau rata dan tapis.


4. Bahagikan kepada 3 bahagian (+-450ml), satu bahagian warna asal, unggu muda dan unggu tua.

5. Panaskan pengukus, masukkan loyang dan tuang 150ml setiap satu adunan warna asal dan kukus selama 4minit. Buat Hingga habis.

6. Ulangi langkah 5 untuk lapisan unggu muda hingga habis dan seterusnya dengan lapisan unggu tua.

7. Untuk lapisan terakhir, tutup loyang dengan aluminium foil dan kukus selama 25minit. Potong Kuih setelah betul-betul sejuk.