BIHUN GORENG SEDAP

Assalamualaikum,

Resepi yang saya ingin kongsikan hari ini adalah bihun goreng sedap. Ini adalah resepi teman sepejabat yang sering menerima tempahan tiap kali ada acara atau majlis-majlis kecil yang lain. 

Sekali lihat bihun goreng semuanya sama sahaja kan. Bila di risik-risik rupanya bihun goreng yang saya klasifikasikan sebagai sedap ini terletak kepada sambalnya yang di masak terlebih dahulu sehingga pecah minyak dan di adun bersama bihun dan bahan-bahan yang lain ketika proses menggoreng.

Sambal ini selalunya di buat dalam kuantiti yang banyak dan di masukkan ke dalam bekas kedap udara, seterusnya di simpan ke dalam peti sejuk. Jika pulang dari pejabat mudah sahaja kerja memasak di mana cili tersebut boleh juga di gunakan untuk menggoreng nasi, mee, masak sambal tumis, asam pedas dan banyak lagi ikut citarasa dan kreativiti kita.

Jom kita lihat, bahan-bahan apa lagi yang di perlukan untuk bihun goreng ni.
SAMBAL / PES CILI 
(Masak dalam jumlah yang banyak & simpan untuk masak menu lain juga) 
40biji cili kering - di rebus dan tapis (agar bijinya keluar)
1/2 inci belacan 
2 labu bawang besar 
1 sudu besar minyak masak
1 keping asam gelugur
CARA MEMBUATNYA :

1. Kisar semua bahan-bahan kecuali asam gelugur. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan kisar dan masak hingga pecah minyak. Masukkan juga asam gelugur ke dalam cili yang di masak agar pes tersebut tahan lama.
2. Pes cili ini boleh di simpan di dalam peti sejuk dan menjimatkan kerja memasak.

BAHAN UNTUK BIHUN GORENG SEDAP
400gm bihun (sepaket) - di rendam di dalam air biasa hingga lembut dan toskan
100gm udang basah (boleh juga gantikan dengan isi ayam jika suka)
100gm sotong 
50gm  sayur sawi - di potong 
50gm kobis - di racik
secekak taugeh 
1/2 cawan sos cili 
1 sudu besar sos tiram 
1 sudu besar kicap pekat 
garam & gula secukup rasa 
Ajinomoto (jika suka) - Boleh gantikan dengan kiub ikan bilis 
1/2 cawan air 
BAHAN SAMPINGAN (UNTUK DI TABURKAN ATAS BIHUN)
Telur - di buat dadar
Tahu - di goreng dan hiris nipis

DI TUMBUK 
3 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah 

CARA MEMASAK

1. Tumis bahan yang di tumbuk hingga wangi dan masukkan dua senduk kecil (dalam 1/2 cawan) pes cili yang di masak tadi sambil di kacau.

2. Masukkan pula kicap pekat, sos tiram, sos cili, udang dan sotong. Kacau hingga sebati dan masukkan pula sedikit garam, gula  dan kiub ikan bilis dan air. Masak hingga mendidih.
3. Seterusnya masukkan bihun di ikuti dengan sayur-sayuran dan kacau hingga bihun lembut serta sebati dengan bahan-bahan yang di tumis tadi.
4. Akhir sekali masukkan taugeh dan kacau sebentar. Jika bihun telah secukup rasa bolehlah matikan api dan hidangkan.