Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat untuk semua pembaca yang sudi masuk ke blog ini. Hari ini saya sekeluarga sarapan gado-gado dengan kuah kacang. Selalu tu anak-anak suka salad simple seperti salad telur atau salad kentang yang dihidangkan bersama dressing mayonis dimana resipinya pernah saya masukkan didalam blog sebelum ini. 

Hari ini saya hidangkan dengan salad jawa yang tak kalah sedapnya. Sedap makan sayuran dengan kuah kacang, tapi si adik hanya kuis ambik telur rebus sahaja. Hmmm liat betul nak makan sayur. Saya masukkan satu sudu besar mentega kacang kedalam kuah kacang dan teksturnya menjadi pekat dan rasanya juga lebih sedap. Cubalah...

Bagi yang ingin mencuba resipi ni bolehlah lihat bahan-bahan dibawah ni dan selamat mencuba.

GADO-GADO DAN KUAH KACANG
Bahan-bahan
150 gram taugeh - buang ekornya
1 keping tempe - digoreng
1 ketul tahu -digoreng dan potong nipis
2 biji kentang - direbus hingga empuk dan potong enam
6 urat kacang panjang 
kobis secukupnya
1/2 biji timun - di potong 
2 biji telur - direbus

KUAH KACANG
250 gram kacang tanah - digoreng
3 tangkai cili merah - goreng tanpa minyak
3 tangkai cilipadi - goreng tanpa minyak
2 sudu besar gula melaka
1 sudu teh belacan - dibakar
1 sudu teh garam
50 ml air asam jawa
Air mendidih secukupnya - ikut kepekatan kuah yang dikehendaki
1 sudu besar mentega kacang

Cara membuatnya:

1. Rebus sayuran secara berasingan sebentar saja sampai layu kemudian ketepikan.
2. Goreng juga tempe dan tahu.
3. Tumbuk kacang tanah goreng bersama cili merah, gula melaka, cili padi, belacan dan garam hingga lumat. Masukkan mentega kacang dan kacau hingga sebati. campurkan air asam dan air mendidih kemudian kacau rata.
4. Masukkan sayuran rebus, tempe, telur dan tahu goreng kedalam pinggan. Tuang kuah kacang diatasnya dan bolehlah dinikmati.
Assalamualaikum,


Kalau nak buat kuih yang simple dan cepat, tak kiralah untuk sarapan pagi atau minum petang, bolehlah cuba buat kuih sagu yang senang dan sedap ni. Ramai yang suka kuih sagu tapi kurang ambil tahu cara membuatnya. Kadang-kadang tu kalau beli yang dah siap, nasib tak baik dapat yang dah basi kelapa parut memang kempunan dibuatnya.

Jadi hari ini apa kata kita belajar buat sendiri. 1 cawan sagu pun boleh banyak tau. Mudah saja membuatnya. Jom kita lihat bahan-bahan yang diperlukan.
KUIH SAGU 
1 cawan sagu
2 ½ cawan air 
¾ cawan gula pasir
½ sudu teh pewarna merah
1 helai daun pandan - dicarikkan dan simpul
1 cawan kelapa parut putih - digaul dengan secubit garam

Cara membuatnya:

1. Mula-mula jerang air bersama daun pandan dan pewarna merah.
2. Apabila air mendidih masukkan sagu dan gula. Masak hingga sagu menjadi jernih dan pekat.

3. Keluarkan daun pandan dan masukkan adunan ke dalam loyang yang telah dilapik dengan plastik ataupun ke dalam acuan kecil mengikut citarasa anda.
4. Kukus selama 20 minit.

5. Setelah itu, kuih disejukkan dan barulah dipotong atau keluarkan dari acuan.

 6. Gaulkan dengan kelapa parut putih yang telah di gaul dengan sedikit garam dan bolehlah dihidangkan. Untuk kelapa tahan lama dan lambat basi bolehlah dikukus sebentar sebelum gaul dengan kuih sagu.

Assalamualaikum, 


Kek coklat, walaupun apa resipinya memang sedap dan tak mampu untuk saya menolaknya. Bagi saya kek ini memang serasi dengan lidah. Penggunaan buttermilk dalam adunan menjadikan teksturnya begitu moist sekali walaupun kek ini dibakar.

Resipi ini saya ambil ketika blog walking ke dapur mama sya. Sumber asal adalah dari blog Naz oven kecil dan saya panjangkan disini bagi sesiapa yang ingin mencubanya pula. Jom lihat cara membuatnya...simple sangat.

BEST MOIST CHOCOLATE CAKE RECIPE
saiz loyang 10 inci
Bahan-bahan :
2 cawan tepung gandum
2 cawan gula
3/4 cawan serbuk koko
2 sudu teh soda bikarbonat
1 sudu teh baking powder
2 biji telur saiz A @ B
1 sudu teh garam
1 cawan buttermilk (1 cawan susu segar + 1 sudu besar cuka/jus lemon - diamkan selama 5 minit)
1 cawan minyak jagung
1 1/2 sudu teh esen vanilla
1 cawan air mendidih (boleh dijadikan 1 cawan kopi sekiranya suka) - saya campur dengan 1/2 sudu besar serbuk nescafe.
3 su

Cara Penyediaan :

Panaskan oven pada suhu 170'C.

1. Lapik loyang kek dengan kertas kalis minyak ketepikan seketika. Masukkan semua bahan di atas kecuali air mendidih ke dalam mixing bowl.
 2. Putar pada kelajuan sederhana selama lebih kurang 1 minit. 
3. Kemudian masukkan air mendidih yang dilarutkan nescafe dan teruskan memutar hingga sebati. Tuang adunan ke dalam loyang. Bakar selama 1 jam atau sehingga kek masak sepenuhnya.
4. Cucuk kek dengan lidi atau pisau. Sekiranya pisau atau lidi yang dikeluarkan bersih, maknanya kek telah masak.

5. Sekiranya terdapat adunan kek yang masih basah melekat pada pisau atau lidi, bakar lagi kek dengan tambahan masa 5 minit dan uji lagi selepas itu sehingga kek masak sepenuhnya.Sejukkan kek sebelum dinikmati atau dihias.
TOPPING
200 gm coklat masakan
1/4 cwn susu cair 

Cara membuatnya:

1. Masakkan atas api guna kaedah DOUBLE BOILED

2. Kacau hingga pekat dan berkilat, bolehlah dihias atas kek.
Assalamualaikum,

Sesekali bersarapan dengan lodeh, nasi impit dan kuah kacang sedap juga. Nak memasak semua memang tak sempatlah diwaktu pagi kerana waktu-waktu begitu sibuk siapkan anak untuk kesekolah dan bersiap pula untuk ketempat kerja. Kuah kacang tu saya masak malam tadi dan ketupat mini pula saya rebuskan pagi ni sambil sediakan sayur lodeh. 

Resipi pula macam biasalah kita masak tiap kali tiba lebaran. Jom layan :) 

LODEH DAN NASI IMPIT
Bahan A -dikisar
3 labu bawang besar
4 ulas bawang putih 
4 tangkai cili padi
2 tangkai cili merah
2cm halia
2cm lengkuas
2cm kunyit
3 sudu besar udang kering 

Bahan B
100gm udang 
3 urat kacang panjang 
1 biji sengkuang - dikupas dan potong memanjang
1/2 batang lobak merah - hiris memanjang 
100gm kobis - dipotong kecil
2 keping tahu - di potong kiub
2 keping tempe - digoreng separuh masak 
100gm tauhu kering (fucuk) - direndam hingga lembut 
50gm suun - direndam hingga lembut
2 batang serai - diketuk
250ml santan pekat
garam dan gula secukup rasa
3cawan air
minyak untuk menumis

1. Masukkan semua bahan A kedalam blender, kisar hingga halus.

2. Panaskan minyak didalam kuali dan tumiskan bahan kisar bersama serai hingga naik bau dan pecah minyak.

3. Masukkan santan pekat bersama air dan kacau rata.

4. Selepas itu masukkan udang, kacang panjang, lobak merah, tauhu, tempe, kobis, tauhu kering dan suun sambil dikacau.

5. Perasakan dengan garam dan gula secukup rasa. Kacau rata dan renih hingga mendidih.


KUAH KACANG
Bahan A
2 cawan kacang tanah 
15 tangkai cili kering 
1/2 inci belacan 
1 labu bawang besar - dimayang 

Bahan B
1/4 cawan gula 
1/4 cawan air asam jawa
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

Cara membuatnya :

1. Goreng kacang tanah hingga ranggup dan kisar kasar.

2. Goreng juga cili kering, belacan dan bawang besar dengan sedikit minyak dan kisar halus.

3. Masukkan semua bahan kisar kedalam periuk dan masukkan juga gula, air asam jawa dan garam secukup rasa.


4. Seterusnya masukkan air secukupnya dan masak sebentar sahaja ikut kepekatan yang dikehendaki. Matikan api dapur.
Assalamualaikum, 

Telur ikan duri atau sesetengah tempat menyebutnya ikan mayong sangat sedap kalau di masak kari atau masak lemak. Tapi susah sedikit nak cari telur ikan ni kecuali sesekali terserempak ada yang menjualnya dipasar. Yang ini saya beli dari pembekal makanan laut, dapatlah lepas kempunan dan masak kari semalam.

Resipi kari ni macam biasalah kita masak kari ikan tu. Tapi sebelum masak saya perahkan jus limau nipis terlebih dahulu kedalam bekas berisi telur ikan duri ini untuk menghilangkan bau hanyir. Lepas perah tak perlulah gaul-gaul segala...takut nanti pecah pula telur ikan ni. Cukup sekadar alih-alih dan bilas dengan air biasa. Nak telur ikan duri masak sekata, bolehlah guntingkan kantungnya sebelum memasak, jadi kuah akan meresap disemua bahagian.

Baiklah kalau rezeki dapat telur ikan duri ni, bolehlah masak kari macam resipi dibawah ni ye:)  
 
KARI TELUR IKAN DURI
Bahan-bahannya:
500gm telur ikan duri
1 peket kecil serbuk kari ikan - campur sedikit air untuk dijadikan pes
1/2 sudu makan asam jawa + 1 mangkuk air
2 pelepah daun kari
1 tangkai cili hijau - dibelah
1 sudu teh halba campur
1/2 sudu teh biji sawi
1 biji tomato - dibelah 4
1 cawan santan
garam secukup rasa / serbuk perasa - jika suka

Bahan dihiris nipis
2 ulas bawang putih
4 ulas bawang merah

Cara-caranya:

1. Panaskan minyak tumis biji sawi, bawang putih, bawang merah, daun kari dan halba campur hingga berbau harum.
2. Masukkan pes kari ikan dan kacau hingga pecah minyak.
3. Masukkan air asam jawa, tomato dan cili hijau. Biarkan mendidih.
4. Masukkan pula telur ikan, garam dan sedikit perasa(jika suka). Biarkan mendidih.
5.  Setelah telur ikan masak dan kuah secukup rasa, matikan api dapur dan bolehlah dihidangkan. 
Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat untuk semua pembaca blog. Masak apa untuk tengahari ni? Kalau saya masak nasi ayam simple dan sedap je hari ni. Sekali harung je...tak perlu fikir lauk-lauk lain dah. Maklumlah hari jumaat di utara ni anak-anak tak sekolah. Senang, masak siap-siap tinggalkan untuk mereka sebelum masuk kerja.

Hmm..pernah tak masak nasi ayam letak lemaknya? Kebanyakkan orang memang biasa masukkan lemak ayam terutama sekali yang berniaga nasi ayam. Bagi saya, inilah kunci kesedapan nasi ayam yang dihasilkan kerana lemak ayam memberikan aroma yang harum. Cubalah masukkan lemak ayam ketika menumis nasi selepas ni. Tak banyak pun, saya cuma guna anggaran 2 sudu besar lemak ayam untuk 3 cawan beras.

Jom cuba masak nasi ayam simpe dan sedap. Resipinya ada dibawah ni.

NASI AYAM SIMPLE DAN SEDAP

Untuk Sup/Ayam/Kuah Kicap dan Kuah Cili
Bahan-bahan
1 ekor ayam - dipotong empat 
1 sup bunjut
1 labu bawang besar - dipotong empat  
3 ulas bawang putih - di ketuk
1 inci halia - di ketuk 

Cara memasak:

1. Rebus semua bahan hingga mendidih. Keluarkan ayam dan toskan. Guna separuh air rebusan tadi untuk memasak nasi dan asingkan separuh lagi untuk dijadikan SUP dengan menambah kiub ayam serta daun sup, daun bawang dan bawang goreng sebagai hiasan.

2. AYAM : Perapkan dengan 1 sudu besar Sos tiram, 2 sudu besar kicap cair, 2 sudu besar kicap manis dan 1 sudu besar madu. Goreng hingga keperangan dan potong ketika menghidang.

3. KUAH CILI : Kisar 5 tangkai cili merah, 1 ulas bawang putih, garam dan gula secukup rasa, 1/2 sudu teh cuka dan 2 sudu besar sos cili.

4. KUAH KICAP : Campurkan 1 cawan air rebusan ayam dengan 5 sudu besar kicap manis, 3 sudu besar kicap masin dan 1/2 sudu teh minyak bijan.

Untuk Nasi
Bahan-bahan
3 cawan beras - basuh dan toskan
4 1/2 cawan air rebusan ayam 
3 ulas bawang merah - di hiris
2 ulas bawang putih - di hiris
1 inci halia - di hiris
1 helai daun pandan - disimpul
lemak dan kulit ayam
1 sudu teh garam 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak campur sedikit mentega didalam periuk nasi, tumis bahan-bahan yang dihiris nipis hingga wangi, masukkan lemak ayam, kacau hingga sebati dan pecah minyak.

2. Masukkan pula beras dan kacau lagi. 

3. Seterusnya masukkan air rebusan ayam, daun pandan, garam dan beberapa titis pewarna kuning(jika suka) dan masak seperti nasi biasa.

Assalamualaikum,

Kalau ada pisang masak ranum dan jemu dah nak buat cekodok, bolehlah lenyek dan jadikan muffin. Nak sedap lagi tabur dengan almond nibs, coklat chips atau apa-apa sahajalah ikut kreativiti masing-masing. Yang mudahnya muffin ni sebab anak-anak senang nak bawa sebagai bekal. 

Seronok kan sebagai ibu melihat anak-anak bawa bekal hasil dari air tangan sendiri. Tak susah pun buat muffin ni asalkan rajin mencuba. Tips yang paling penting untuk hasilkan muffin yang cantik adalah JANGAN terlebih kacau adunan. Tekstur muffin tak seperti kek...jadi cukup hanya kaup balik adunan dan tak mengapa jika terlihat agak berketul kerana ia akan menjadi cantik selepas dibakar. Pastikan juga sudukan 3/4 sahaja adunan kedalam acuan untuk dapatkan muffin macam gambar dibawah tu.

Selamat mencuba <3 

MUFFIN PISANG ALMOND
Bahan-bahan
200g tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh garam halus
3 biji pisang besar - dilecek 
150gm gula kastor
1 biji telur
75gm - cairkan
1/4 cawan almond cincang (Almond nibs)
sedikit coklat chips 

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven dan setting kepada 180'c. Atur cawan muffin kedalam dulang membakar.

2. Ayak bersama tepung, baking powder, baking soda dan garam. Ketepikan seketika.

3. Campurkan pisang lenyek, gula, telur dan mentega cair di dalam mangkuk besar. 


4. Tuang campuran tepung kedalam mangkuk adunan basah(pisang lenyek) dan kacau sebentar sahaja sehingga sebati. 

5. Masukkan juga almond cincang dan kaup balik. 

5. Sudu sama rata ke dalam cawan muffin dan taburkan dengan coklat chips atau coklat rice. Bakar di dalam oven selama 25 hingga 30 minit atau sehingga muffin masak.


Assalamualaikum. 

Suka makan salad kentang? Anak-anak saya memang suka makan salad begitu sahaja untuk sarapan pagi dan kadang-kadang waktu malam minta juga dibuatkan. Seronok bila tengok anak-anak makan sayuran yang bercampur dalam salad tu. 

Sekarang ini memang mudah nak cari sos atau dressing salad dan banyak dijual dipasaran. Tinggal pilih dan campurkan dengan bahan-bahan lain. Apa kata buat dressing salad sendiri di rumah dan rasanya memang sedap ala-ala sos thousand island dan menjimatkan belanja. Hanya beli mayonis dan campurkan dengan sedikit bahan-bahan lain untuk membangkitkan rasa yang lebih sedap.

Jom kita lihat bahan apa yang diperlukan tu :)   
SALAD KENTANG  
Bahan-Bahan 
6 ketul ubi kentang 
timun - di hiris nipis
sebiji tomato - dihiris
Kobis unggu -dihiris
Daun salad - iceberg

Dressing/Sos Salad
1 cawan mayonis
2 sudu besar sos tomato/boleh gantikan dengan sos cili
2 sudu teh bawang holland - di cincang halus
1/4 sudu teh bawang putih - dicincang halus
1 sudu teh jus lemon/limau nipis
secubit garam

CARA MEMBUATNYA

1. Rebus ubi kentang hingga empuk, kupas kulit dan belah empat. Ketepikan seketika.

2. Untuk membuat 'dressing', kacau semua bahan B kedalam sebuah mangkuk dan perasakan dengan secubit garam.
3. Sejukkan bahan untuk 'dressing' sekurang-kurangnya sejam untuk memastikan semua bahan bercampur dan memberikan rasa yang enak.

4. Keluarkan sos yang telah siap tersebut dari petisejuk dan gaul dengan kentang dan semua bahan A.

5. Sajikan dengan masakan barat lain atau enak juga dimakan begitu saja.


Assalamualaikum, 

Kadang-kadang tak tahu nak jamah apa untuk makan malam kan. Bagi ibu-ibu yang bekerja, bila dah sampai rumah dan mandi manda serasa malas pula nak masak yang rumit-rumit atau keluar makan diluar. Kalau ada semua bahan, bolehlah masak sendiri hidangan ringkas di rumah. Asalkan mengenyangkan dan cepat dimasak. 

Alhamdulillah walaupun negara kita dalam situasi turun naik suasana ekonominya rakyat masih dapat makan dan berkira-kira nak masak apa setiap hari. Saya selalu ingatkan pada anak-anak agar menghabiskan makanan yang dihidangkan dan bersyukur apa yang ada. Ingat dan doakan saudara-saudara kita di Syria yang sedang menderita sekarang sehinggakan ada yang menjamah rumput dan daun-daun untuk teruskan hidup. 

Jadi kita yang dikurniakan rezeki yang melimpah ini harus bersyukur sangat dan kalau ada makanan yang tidak dihabiskan tu bolehlah disimpan didalam peti sejuk dan kitar semula menjadi menu lain. Sebagai ibu kita haruslah kreatif menyediakan makanan untuk anak-anak dan keluarga, kan :)

Untuk makan malam hari ni saya gunakan lebihan nasi tengahari tadi untuk hasilkan nasi goreng ayam yang simple. Kalau goreng sendiri dirumah, dapatlah kurangkan kegunaan minyak masak dan ada baiknya gunakan minyak jagung. Err..portion nasi dalam gambar kat bawah ni sedikit je kan. Diet katanya...hmm :D
NASI GORENG AYAM 
Bahan untuk Nasi 
2 pinggan nasi sejuk
3 sudu besar sambal belacan
1/2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
Minyak untuk menumis
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap cair 
1 sudu besar kicap manis
Ikan bilis secukupnya
1 biji telur

Bahan-bahan untuk ayam goreng 
3 ketul potongan ayam 
1 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh serbuk kari daging 
garam secukupnya 

Cara memasak:

1. Perapkan ayam dalam 15minit dan goreng hingga garing. Ketepikan seketul ayam dan potong dadu untuk digoreng bersama nasi.
2. Masukkan minyak masak kedalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga berbau wangi. Masukkan ikan bilis dan ayam goreng sambil dikacau dan masukkan sambal belacan
3. Pecahkan telur kedalam kuali dan kacau sebati dengan bahan tumis.
4. Seterusnya masukkan nasi sambil dikacau lagi dan masukkan pula sos tiram, kicap cair dan kicap manis. Kuatkan api dapur dan kacau nasi dengan cepat. Bila semuanya bercampur bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama ayam goreng dan sos cili.
Assalamualaikum,


Nasi Lemak antara sarapan pagi yang popular bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun pada masa kini nasi lemak juga merupakan pilihan makan malam ataupun hidangan diwaktu petang terutama sekali bagi yang sentiasa sibuk dan mahukan hidangan yang ringkas dengan harga yang berpatutan. 

Nasi lemak mudah didapati dan bukan setakat hidangan di pinggir jalan.Ia juga diangkat menjadi menu utama didalam penerbangan pesawat MAS. Menu yang satu ini turut disajikan di restoran ternama dan hotel-hotel bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara Asia. 

Ada berbagai variasi resipi nasi lemak tetapi pagi ini saya cuma buat yang ringkas dan digandingkan dengan sambal tumis udang, ikan bilis goreng, kacang goreng, hirisan timun dan telur mata yang di goreng garing. Sebenarnya anak saya yang bongsu tidak berapa suka telur mata yang lembik kerana hanyir katanya :) 

Kepada sesiapa yang ingin mencuba bolehlah ikut resipi dibawah ini.

NASI LEMAK 
Bahan-bahannya
3 cawan beras dibasuh toskan
3 1/2 cawan air 
1 cawan santan 
1 helai daun pandan - dicarik dan simpulkan
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah 
2 sudu teh garam

Masukkan kesemua bahan kedalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata dan biarkan sentiasa panas didalam periuk nasi.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
Garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris bulat

Bahan Kisar
10 tangkai cili kering - rebus dan toskan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1/2 labu bawang besar 
1/2 inci belacan - dibakar terlebih dahulu
3 sudu besar air asam jawa

Cara-cara:

1. Masukkan sedikit minyak kedalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga wangi (lebih kurang 5 minit)

2. Masukkan sedikit air jika terlalu pekat dan renih sambal hingga pecah minyak dan kacau selalu.

3. Masukkan pula udang dan kacau hingga sebati dengan sambal.

4. Seterusnya masukkan air asam jawa, bawang hiris dan perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu kepada yang sudi menjengah ke blog ini. Panas betul cuaca sekarang ini kan. Memang tak sanggup rasanya nak bawa anak-anak untuk aktiviti luar atau ke pantai dalam cuaca begini, apalagi Langkawi yang dikelilingi pulau, memang bahang panasnya begitu terasa sekali.  Menurut informasi dari Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Semenanjung Malaysia dijangka akan mengalami keadaan cuaca panas dan kering mulai penghujung Januari ini dan berterusan sehingga Mac 2016.

Katanya keadaan ini disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016. Sepanjang tempoh itu sama-sama kita menjaga kesihatan terutama anak-anak yang telah kembali ke sekolah. Sebaiknya bekalkan air secukupnya dan sentiasa berpesan agar mereka kurangkan minuman berais. 

Dalam cuaca panas begini juga enak jika sajikan agar-agar atau puding untuk anak-anak. Apa kata cuba resipi puding vanilla yang saya kongsikan hari ini. Pasti anak-anak suka dengan rasanya. Lebih enak lagi masukkan dahulu dalam petisejuk sebelum dihidangkan.

PUDING VANILLA
3 biji kuning telur
70gm gula kastor
30gm tepung jagung 
500ml susu segar 

Cara membuatnya:

1. Didalam mangkuk adunan, pukul kuning  telur dan gula dengan 'hand mixer' dalam 3 minit sehingga kembang dan berkrim. 

2. Masukkan pula tepung sedikit demi sedikit sambil di pukul lagi.



3. Seterusnya masukkan esen vanilla dan kacau lagi sehingga adunan kembang. 



4. Masukkan adunan kedalam periuk dan gunakan api sederhana. Tuang susu sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga adunan pekat.

5. Akhir sekali tuang adunan kedalam acuan atau bekas yang sesuai dan sejukkan. 
Assalamualaikum, 

Selalunya jika ada roti yang menghampiri tarikh luput kita buatkan puding karamel atau puding roti dan memang larislah selepas itu. Hari ini saya ingin berkongsi satu lagi resipi yang boleh dihasilkan daripada roti putih. Sesuai dibuat kudapan dan anak-anak pasti suka dengan rasa dan keranggupannya.

Nak membuatnya memang semudah ABC tetapi pastikan jangan terlebih susu ketika menyalut roti kerana roti akan menjadi lembik dan kembang sedikit ketika dibakar didalam oven. Cara yang terbaik adalah menyapu susu pekat dengan berus dipermukaan roti sebelum menyalut dengan bijan. Satu lagi jika anda dapati roti sudah elok masaknya dan kelihatan garing tetapi masih lembik, jangan risau kerana sebaik sahaja keluar dari oven roti ini akan menjadi ranggup. 

Jom cuba buat...hanya tiga bahan yang diperlukan :)

JEJARI ROTI RANGGUP BERBIJAN
8 Keping roti putih atau lebih
1/2 cawan susu pekat manis 
1/2 cawan bijan

Cara membuatnya:

1. Buang kulit disekeliling roti dan gunting sekeping roti kepada 6 bahagian.


2. Celupkan roti yang dipotong tadi kedalam susu pekat manis tetapi jangan terlebih susu kerana roti akan menjadi lembik ketika dibakar. Jika kurang mahir mengagak ketebalan susu yang harus disalut, sila gunakan berus untuk menyapu susu dipermukaan roti.



3. Golekkan roti yang dicelup susu tadi kedalam bekas bijan dan pastikan semua bahagian bersalut bijan.



4. Bakar di dalam oven pada suhu 180'c selama 10minit atau sehingga roti garing. Saya gunakan api atas dan bawah.

5. Bila roti sudah sejuk bolehlah dimasukkan kedalam bekas kedap udara.
Assalamualaikum,

Hari kedua anak-anak kesekolah berbekalkan lempeng kelapa dengan sambal sardin. mengimbau pula kenangan lama waktu kecil ibu selalu buatkan lempeng waktu pagi. Tapi masa tu saya lebih suka makan dengan gula atau susu. Lempeng yang ibu buat lebih sedap kerana dia gunakan kelapa yang agak muda tapi isinya dah kenyal sedikit dan dikukur sendiri. Sedap sangat makan lempeng kelapa yang panas-panas dan lemak kelapa begitu terasa sekali. 

Sekarang ni susah nak cari kelapa begitu kecuali jika rumah di kampung. Saya hanya gunakan kelapa parut yang dibeli dari pasar untuk buat lempeng pagi ini.

Resipi lempeng kelapa ni simple sahaja, malah ada yang buat tak perlu sukat pun. Hanya campurkan segala bahan dan bakar. Yang penting pandai 'adjust' sukatan air dengan tepung. 

LEMPENG KELAPA
1 ½ cawan kelapa parut
1 cawan tepung gandum
½ sudu teh baking powder
1 cawan air - lebih sedap guna air kelapa
Garam secukup rasa              

Cara-cara

1. Masukkan semua bahan kedalam mangkuk besar dan gaul. 

2. Panaskan kuali leper dan sapu dengan sedikit minyak atau margerin. 

3. Tuangkan adunan secukupnya untuk membentuk membentuk lempeng.Masak dengan api sederhana dan balik-balikkan agar garing.

4. Setelah masak hidangkan dengan kari atau sambal sardin.

SAMBAL SARDIN
1 tin sardin - saiz besar 
10 tangkai biji cili kering  - dikisar
3 ulas bawang merah - dikisar
2 ulas bawang putih  - dikisar
1 labu bawang besar - dipotong bulat
2 sudu besar air asam jawa
garam secukup rasa
Minyak secukupnya untuk menumis

Cara memasak :

1. Panaskan minyak, tumis bahan kisar hingga wangi dan naik minyak. Masukkan pula air asam jawa.

2. Tuang sardin tin kedalam kuali sambil di kacau perlahan.

3. Perasakan dengan garam secukup rasa dan masukkan bawang besar.

4. Setelah bawang layu dan sardin secukup rasa bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama lempeng kelapa.