Assalamualaikum, 

Pisang yang dibakar dengan mentega...hmm, sedapnya. Seperti yang kita tahu, pisang merupakan buah yang boleh diperbagaikan dan diolah samada menjadi goreng pisang, kuih tradisional, dessert, dicampurkan dengan aiskrim atau dijadikan kek serta muffin. Sejak zaman dahulu lagi pisang popular bagi masyarakat asia umumnya dan hidangan ringkas seperti pisang rebus yang digolek dalam kelapa bercampur garam, dinikmati juga dengan gula perang memang hidangan kampung yang super sedap.

Sesetengahnya pula lebih suka membakar pisang dan dihidangkan dengan sos manis seperti gula melaka yang dicairkan, nutella, karamel atau parutan keju cheddar. 

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resipi yang tak kurang lazatnya iaitu pisang bakar dengan sos mentega kacang. Sebaiknya guna pisang seperti pisang raja, pisang abu@nipah, pisang awak , pisang nangka atau pisang-pisang yang sesuai untuk digoreng.

Nak tau cara mudah untuk membuat pisang bakar dengan sos mentega kacang ni? Jom kita lihat resipinya :) 

PISANG BAKAR DENGAN SOS MENTEGA KACANG 
Bahan-bahan 
10biji pisang masak - saya guna pisang nipah
1 sudu besar mentega 
1/4 cawan kepingan almond - dipanggang sebentar

Bahan Sos mentega kacang 
1 sudu besar mentega
2 sudu besar peanut butter chunky (kasar)

Cara membuatnya:

1. Panaskan kuali anti lekat, masukkan 1 besar mentega, biarkan cair.
2. Kupas pisang dan letakkan didalam kuali tadi. Tekan dan alih-alihkan pisang hingga masak sempurna.
3. Sementara itu masukkan mentega didalam kuali lain, panaskan hingga cair. Masukkan pula mentega kacang chunky dan kacau hingga sebati dan matikan api dapur.
4. Atur pisang bakar didalam pinggan dan tuang sos mentega kacang keatas pisang tadi. Tabur kepingan almond dan sedap dihidangkan panas-panas. 


Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu & sarapan apa hari ini? Seperti yang kita sedia maklum sarapan kegemaran rakyat Malaysia selain dari nasi lemak adalah roti canai. Pernah tak beli roti canai tapi tak dihabiskan dan terbiar keras? Selalunya bila panaskan semula pun tak dapat sambutan dah dari anak-anak. 

Apa kata kita kitar semula menjadi savoury muffin yang sangat sedap, tambahan pula makan panas-panas dengan kuah kegemaran seperti kuah kari, kuah dal atau enak juga bersama sos cili ataupun mayonis. 

Jom tengok resepi leftover Roti Canai muffin yang simple ni. Mesti anak-anak suka :)  
LEFTOVER ROTI CANAI MUFFIN
Bahan-bahan
2 biji roti canai 
4 biji telur - Gred A
2 ekor sardin - tin kecil (ambil isi ikan sahaja tanpa sosnya)
3 tangkai daun bawang 
1 tangkai cili merah
Secubit garam
1/4 cawan keju cheddar - disagat

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven dan sapu minyak kedalam muffin pan. Potong roti canai dalam kepingan kecil, masukkan kedalam mangkuk besar dan ketepikan seketika.

2. Didalam sebuah mangkuk, pukul telur dan garam dengan garfu. Masukkan isi ikan sardin yang telah dilecek. Masukkan juga daun bawang dan cili merah.


3. Tuang telur tersebut didalam mangkuk berisi roti canai tadi dan kacau hingga sebati.


4. Akhir sekali masukkan adunan tersebut kedalam muffin pan dan tabur keju diatasnya. Bakar didalam oven pada suhu 180'c (api atas dan bawah) selama 15-20minit atau sehingga masak.


5. Hidangkan bersama kari, kuah dal ataupun sos cili mengikut selera anda.
Assalamualaikum, 

Udang lipan masak kung pao, memang sedap setanding dengan isi udang-hidup biasa yang kita selalu masak. Tetapi sukar nak cari isi udang lipan ni. Saya pun beli produk frozen. Memang perlukan kemahiran nak kopek udang lipan dan ambil isinya. Maklumlah kulit udang ini boleh tahan tajam durinya dan perlu berhati-hati. Kalau suruh saya kopek..nak dapat 100gm tu pun tak sanggup rasanya..hahaha. Alhamdulillah jumpa produk frozen ni, bolehlah merasa. 

Bagi yang ingin mencuba masak kung pao ini, boleh juga gunakan udang biasa ataupun kalau nak gunakan isi ayam, harus perap dahulu dengan sos tiram dan tepung jagung sebelum digoreng. Untuk resipi yang gunakan isi udang lipan ni, saya masukkan terus dengan bahan tumis dan sosnya. Jom tengok resipi dibawah ni :)  

UDANG LIPAN MASAK KUNG PAO
Bahan-bahan 
500gm isi udang lipan @ mantis prawn
3 sudu besar minyak masak 
1 capsicum hijau - dihiris kasar
1/2 labu bawang besar - dihiris
3 ulas bawang putih - dicincang
1 inci halia - dicincang
2 tangkai daun bawang - dihiris
biji gajus panggang secukupnya  
5 tangkai cili kering 

Bahan Sos
1 sudu besar kicap cair
2 sudu teh kicap pekat
2 sudu teh gula
1 sudu teh tepung jagung 
2 sudu teh cuka
1 sudu teh minyak bijan
1/2 ketul kiub ayam 

Cara memasak:

1. Masukkan semua bahan sos didalam sebuah mangkuk dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak, tumis halia, bawang putih, bawang besar, capsicum, cili kering dan daun bawang hingga wangi.  
3. Masukkan isi udang lipan dan kacau hingga sebati dengan bahan tumis. Isi udang lipan frozen yang saya gunakan mengeluarkan air ketika ditumis jadi tidak perlu lagi memasukkan air dalam masakan ini.
4. Seterusnya masukkan semua bahan sos yang disatukan dalam mangkuk tadi dan kacau lagi.
5. Akhir sekali masukkan pula kacang gajus dan bolehlah matikan api dapur. Hidangkan bersama nasi panas dan lauk pauk yang lain 

Assalamualaikum, 

Entry tertunggak, kerabu nangka muda dengan isi ikan bakar. Sebenarnya dah lama saya buat kerabu ini dan tersimpan didalam folder di laptop. Bila check hari ini, eh! masih ada lagi rupanya resipi yang tidak publish dalam blog.

Kerabunya seperti biasa yang saya buat sebelum ini juga dan bagi yang suka pedas bolehlah lebihkan cili padi untuk mendapatkan rasa yang lebih kick. Bagi yang nak try buat tu, bolehlah ikut resipi dibawah ini. Kalau tak nak guna isi ikan bakar, boleh juga gantikan dengan perut lembu yang di rebus terlebih dahulu ataupun kerang juga sesuai.

KERABU NANGKA MUDA DENGAN ISI IKAN BAKAR
Bahan-bahan
300gm nangka muda - direbus hingga empuk dan toskan 
2 ekor ikan kembung - gaul dengan garam dan dibakar
1/2 sudu besar lada hitam - ditumbuk kasar
tomato ceri secukupnya 
1 labu bawang besar - dihiris bulat 
1 sudu besar santan pekat

Bahan-bahan - Ditumbuk lumat
3 tangkai cili merah 
5 tangkai cili padi 
1/2 inci belacan 
asam jawa 
1 sudu besar kerisik 
Garam dan gula secukup rasa

Cara membuatnya:

1. Toskan isi nangka muda yang telah direbus dan masukkan kedalam mangkuk besar. Campur bersama isi ikan yang telah diasingkan dari tulangnya.
2. Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk kedalam mangkuk tersebut bersama bawang besar yang telah dihiris.
3. Seterusnya masukkan tomato dan gaul kesemuanya.
4. Akhir sekali masukkan santan pekat dan lada hitam yang telah ditumbuk tadi. Gaul rata dan hidangkan.

Assalamualaikum, 

Serawa ubi kayu bersagu adalah sejenis dessert yang sedap dinikmati petang-petang begini. Kombinasi ubi kayu rebus yang lemak dan gebu dipadankan pula dengan gula melaka dan santan serta wanginya daun pandan..hmm memang membuka selera. Boleh kurangkan penggunaan gula bagi yang kurang makan manis dan boleh juga gantikan santan dengan susu cair. 

Resipinya mudah sahaja,sama seperti kita masak serawa atau pengat lain, cuma ubi kayu perlu direbus terlebih dahulu hingga empuk sebelum menghasilkan serawa. 

Kalau ada ubi kayu, bolehlah cuba resipi dibawah ini :) 

SERAWA UBI KAYU DENGAN SAGU 
1 ketul ubi kayu (dalam 500gm)
1 keping gula melaka
1 1/2 cawan santan pekat 
2 cawan air
2 sudu besar sagu 
1/2 cawan gula (kurang atau lebihkan ikut kemanisan yang anda mahu)
1 helai daun pandan - dicarik dan simpulkan
secubit garam

Cara memasak:

1. Kupas ubi kayu dan buang serat dibahagian tengahnya. Rebus dengan sedikit garam hingga empuk dan toskan. Ketepikan seketika.
2. Didalam bekas lain, rebus air hingga agak mendidih. Masukkan sagu dan kacau sehingga sagu kembang.

4. Masukkan gula pasir, daun pandan dan gula merah kedalam periuk. Masak lagi hingga mendidih.
5. Tuang pula santan pekat serta secubit garam, kacau hingga sebati.


6. Akhir sekali masukkan ubi kayu yang di rebus tadi dan masak sebentar. Bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum, 

Itik salai dan daun puding hitam adalah buah tangan istimewa dari anak yang pulang bercuti di kampung sempena cuti tahun baru cina yang lalu. 

Kalau disebelah utara semenanjung ni, daun puding adalah pohon hiasan yang banyak ditanam di halaman rumah terutama dikampung-kampung. Tetapi ia BERBEZA dengan daun puding yang digunakan dalam masakan rendang di Negeri Sembilan. Rasanya dinegeri-negeri lain tidak ada yang menggunakan daun puding hitam atau daun puding belacan ini dalam masakan. Begitulah uniknya negeri-negeri di Malaysia ni kan. Kalau nak tahu lebih lanjut macamana bentuk daun puding hitam ni, bolehlah buat carian digoogle.

Daging itik memang agak liat sedikit dari daging ayam, tetapi itik yang saya gunakan untuk merendang ini telah disalai terlebih dahulu dan selain daripada lebih beraroma dagingnya juga lebih lembut dan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk masak.

Inilah gambar itik salai yang di ambil oleh anak-anak. Ia dijual bersama dengan daging lembu salai dan ayam kampung yang turut disalai dan lokasi ini adalah di Simpang Pelangai Kuala Pilah, Negeri Sembilan. 
RENDANG ITIK SALAI DENGAN DAUN PUDING 
Bahan-bahan:
1 ekor itik salai 
1/2 Kilogram santan
2 sudu besar kerisik
1 sudu besar rempah kari ayam
1 helai daun kunyit - di carik 
1 keping asam gelugur
secekak daun puding - guna bahagian lembut dan buang tulang tengah
1 batang serai - di ketuk
Garam secukup rasa

Bahan Kisar:
8 ulas bawang merah
10 tangkai cili padi
15 tangkai cili kering - rendam ais panas hingga lembut dan toskan
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
1/2 inci lengkuas
3 batang serai

CARA MEMASAK:

1. Potong itik salai kepada 12 bahagian dan bersihkan. 
 1. Masukkan itik bersama bahan kisar ke dalam periuk dan juga rempah kari.


2. Kacau rata dan biarkan mendidih seketika.

3. Kemudian masukkan santan dan biarkan hingga kuahnya sedikit kering.
4. Masukkan kerisik, asam gelugur dan perasakan dengan garam secukupnya.

5. Biarkan hingga kuahnya pekat dan taburkan hirisan daun kunyit dan daun puding ke atasnya dan masak lagi sehingga kuah agak kering.



6. Angkat dan hidangkan.
Assalamualaikum, 

Hari ini masak nasi briyani menyambut anak-anak yang baru pulang dari menghabiskan cuti tahun baru cina di kampung. Err..gandingan yang sesuai tak nasi Briyani, ayam masak ros dan  kurma daging dihidangkan bersama? Kira acilah ya. Huru-hara pagi ni tak sempat nak ambil gambar step by step. Seawal sebelum subuh lagi saya masak semuanya kerana terkejar nak ke pejabat pula.

Untuk pembaca yang nak try masak nasi briyani dengan ayam masak ros, resipinya ada dibawah ini. Hidangan sampingan seperti kurma daging tu pula nanti-nanti di entry yang lain saya share resipinya pula ye :)
NASI BRIYANI
4 cawan beras basmathi
4 1/2 cawan air
Beberapa titis warna kuning dan oren
1 sudu besar rempah briyani - saya guna jenama faiza
1/2 cawan susu cair
garam secukup rasa

Bahan Tumis
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 ulas buah pelaga
3 kuntum bunga cengkih
2 helai daun pandan - disimpul
1 labu bawang besar - dihiris
1 sudu besar minyak sapi + 1 sudu besar minyak masak

Cara memasak:

1. Rendam beras basmathi selama 20 minit dan toskan.

2. Panaskan minyak dan masukkan bahan tumisan. Kacau sehingga wangi dan masukkan pula rempah briyani sambil dikacau lagi.

3. Masukkan air dan susu cair sambil dikacau dan masukkan garam secukup rasa dan biarkan mendidih sebentar.

4. Masukkan pula beras dan masak nasi seperti biasa. Bila nasi kering, gembur nasi dan tabur bawang goreng, kismis serta daun ketumbar. titiskan juga pewarna kuning serta oren dan tutup periuk.

5. Panaskan lagi dengan api perlahan selama 10 hingga ke 15minit sehingga nasi benar-benar masak. Setelah itu gembur lagi dan bolehlah dihidangkan.

AYAM MASAK ROS
1 ekor ayam - di potong 12 (perap seketika dengan garam dan kunyit)
2 batang serai - diketuk
Rempah 4 sekawan untuk menumis (1 inci kulit kayu manis, 2 biji buah pelaga, 1 kuntum bunga lawang dan 3 kuntum bunga cengkih)
1/2 cawan susu cair 
2 helai daun pandan - di carik dan simpulkan
1 sudu teh serbuk jintan manis
1 sudu teh serbuk jintan putih
1 sudu teh serbuk ketumbar
3 sudu besar sos tomato
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar
1 inci halia
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji tomato 
10 tangkai cili kering - rendam dengan air panas dan toskan

cara memasak

1. Goreng ayam dan ketepikan seketika.

2. Panaskan minyak didalam kuali dan tumis rempah 4 sekawan,bahan kisar, serai, serbuk jintan manis, jintan putih, daun pandan serta serbuk ketumbar hingga wangi. Masukkan sedikit air dan susu cair sambil dikacau.

3. Setelah kuah agak pekat, masukkan ayam dan gaulkan hingga rata. Masukkan juga sos tomato. 

4. Renihkan hingga masak dan suaikan rasanya dengan garam dan gula. Setelah secukup rasa dan bolehlah matikan api dapur dan hidangkan.

Assalamualaikum.

Kek Delicia sangat simple untuk membuatnya dan idea untuk nama kek ini adalah disebabkan saya gunakan Delicia hazelnut chocolate spread dari Gardenia untuk dicampurkan kedalam adunan. Rasanya? Alhamdulillah...sedap sangat bagi lidah saya kerana saya memang suka rasa hazel campur coklat. Cadangan asal nak buat kek nutella tapi yang ada dalam stok cuma Delicia. Bolehlah...

Bagi yang ingin mencubanya jom kita lihat bahan-bahan dan cara membuatnya :)
KEK DELICIA
Bahan-bahan
175gm tepung gandum
1 sudu teh baking powder
175gm mentega
175gm gula perang 
4 biji telur 
2 sudu teh delicia hazel nut chocolate spread
Sedikit gula icing - untuk 'dusting' 

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada 170'c. Sapukan mentega pada loyang dan ketepikan seketika.

2. Masukkan gula perang dan mentega kedalam bekas pengadun, pukul hingga gebu dan gula hancur.
3. Masukkan pula telur satu persatu berselang seli dengan tepung dan pukul lagi.

4. Selepas itu masukkan 2 sudu besar Delicia hazelnut chocolate spread dan pukul hingga sebati.
5. Tuang adunan kedalam loyang dan bakar dalam 45minit sehingga kek masak.
6. Setelah kek sejuk, potong ditengahnya dan sapu Delicia hazelnut chocolate spread dan tutup kembali. Ayak gula icing diatas kek dan bolehlah dihidangkan.


Assalamualaikum, 

Apa-apa jenis puding pun pasti segar dinikmati sebagai pencuci mulut, tambahan pula pada cuaca panas begini. Banyak-banyak buah, mangga menjadi pilihan saya kerana suka dengan rasanya. Sebab itulah dalam blog ni ada beberapa resipi menggunakan mangga masak contohnya kek mangga, jem mangga dan pulut mangga

Hari ini saya ingin berkongsi pula puding mangga yang resipinya saya ambil dari blog Damai Qalbu. Terima kasih ye Rohaisha, saya panjangkan pula resipi disini bagi yang ingin mencubanya.

PUDING MANGGA
Bahan-bahan:
1 biji buah mangga masak 
150gm gula 
650ml air
10gm serbuk agar-agar
1 sudu besar tepung kastard
1/2 sudu teh esen vanila
2 sudu besar mentega
1/2 tin susu cair
1 biji telur

Cara membuatnya: 

1. Masak air bersama agar-agar dan gula sehingga larut, biarkan seketika. Kupas mangga dan kisar hingga halus.
2. Kemudian satukan telur, tepung kastard, susu cair, mentega, esen vanila dan puri mangga.Pukul sedikit agar sebati.
3. Masukkan adunan tersebut kedalam bancuhan agar-agar tadi sehingga larut dan sebati.
4. Tapis dan tuang kedalam acuan. Sejukkan hingga agar-agar keras dan bolehlah dihidangkan. Lebih enak dimakan sejuk dan masukkan kedalam petiais terlebih dahulu.

Assalamualaikum, 

Ini entry kedua kek tapai ubi kayu dalam blog ini. Resipi sebelumnya dapat dilihat DISINI. Di Langkawi sukar mencari tapai ubi kayu ni, dan kebetulan outstation ke KL dua hari lepas saya tak lepaskan peluang membelinya dimana mudah untuk dapatkannya di restoran atau kedai-kedai makan disana.

Saya penggemar kek tapai ubi kayu, dan resipi kali ini memang lembut dan gebu keknya kerana saya masukkan juga sedikit tepung jagung kedalam adunan.

Kepada yang ingin mencuba resipi kek ni, bolehlah lihat bahan-bahan yang disediakan dibawah. Kalau nak buat untuk loyang loaf yang kecil bolehlah cuba separuh dari adunan ni.

KEK TAPAI UBI KAYU BERKEJU
300gm tapai ubi kayu 
250gm mentega
70 gm gula pasir
90ml susu pekat
4 biji telur
1/4 cawan keju parut
1 sudu besar kismis/ kepingan almond

Diayak
200gm tepung gandum
20gmTepung jagung
1 sudu teh baking powder 

Cara membuatnya:

1. Panaskan oven pada suhu 170'c dan lapik kertas kek pada loyang. Bersihkan tapai ubi kayu dengan mengasingkan serat-serat ditengahnya dan hanya gunakan bahagian yang lembut sahaja. Lenyek dengan garfu hingga menjadi seperti pes.
2. Pukul mentega dan gula hingga lembut. Masukkan susu pekat dan pukul rata.
3. Masukkan pula telur satu persatu sambil dipukul lagi berselang-seli dengan tepung.
4. Seterusnya masukkan tapai ubi kayu dan tepung hingga habis dan pukul lagi 
4. Tuang adunan kedalam loyang yang telah dilapik kertas kek. Tabur keju, kismis dan almond.

5. Bakar selama 45 menit dengan suhu oven 170'c ataupun sehingga kek masak.
Assalamualaikum, 

Dalam cuaca yang panas dan kering macam sekarang memang sedap kalau dapat makan yang sejuk-sejuk macam timun betik bersagu ni. Kalau di Langkawi, timun betik memang ada dijual pada musim sekarang iaitu musim menuai tembikai tempatan dan kedua tanaman ini ditanam berselang-seli. Buah tembikai Langkawi saiznya agak kecil tapi rasanya memang manis. Tetapi hari ini saya ingin bercerita tentang timun betik salah satu daripada keluarga melon.

Buah timun betik ni harum baunya seakan-akan buah tembikai susu ketika telah masak tetapi rasanya sedikit tawar. Jadi kita harus campurkan dengan gula melaka ketika menghidangkan dengan santan dan saya tambahkan juga sagu yang telah dimasak sehingga jernih.

Tanaman ini tidak bermusim sebenarnya tetapi hanya popular dan dijual pada musim panas. Tetapi jangan risau kalau anda tak dapat mencari timun betik, kerana hidangan ini juga boleh digantikan dengan buah tembikai susu. Cubalah...semangkuk memang tak cukup dibuatnya dalam musim panas begini. Segar...  
TIMUN BETIK BERSAGU
Bahan-bahan
1 biji timun betik yang masak (bersaiz kecil) - Boleh gantikan dengan tembikai susu
1 cawan sagu - saya gunakan yang warna hijau
½ cawan gula melaka
½ cawan air 
1 cawan santan dimasak dengan ½ sudu teh garam

Cara membuat :

1. Campurkan gula melaka dan air serta renihkan sehingga larut dan mendidih. Ketepikan seketika dan biarkan menjadi sejuk.
2. Didalam periuk, didihkan 6 cawan air dan masukkan sagu. Kacau sehingga sagu lembut dan jernih. Masukkan kedalam penapis dan lalukan dengan air. Ketepikan seketika.
 3. Sediakan gelas atau mangkuk dan masukkan ais kiub. 
3. Seterusnya scoop isi timun betik ataupun potong kiub dan masukkan kedalam gelas tersebut.
5. Campurkan sirap gula melaka, santan dan sagu. Hidangkan sejuk.