APAM ENO BERAS

Assalamualaikum,

Hari ini saya buatkan Apam Eno Beras untuk sarapan pagi. Sayang, bila ada lebihan nasi lepas makan malam tadi masih berbaki. Nak goreng untuk anak-anak pun sikit sangat, tak lepas sepinggan jadi saya perapkan untuk buat Apam Beras Eno je. Resipi saya ambil dari blog yatiememories. Terima kasih yatie...saya kongsikan di blog ini pula ye. 

Oleh kerana aktiviti memerap adunan apam ini dilakukan seawal 4.30pagi maka tak adalah gambar step by step pada entry kali ini. Selepas perap saya terus tidur dan bangun semula kejutkan anak-anak ke sekolah. Dah memang tak sempatlah nak ambil gambar lepas tu. Hanya gambar akhir dah tersusun diatas daun pisang dan ditaburi kelapa parut sahaja yang ada dibawah ini.

Jom try buat apam eno beras...makin sedap lepas gaul dengan kelapa.

APAM ENO BERAS
Bahan-bahannya:
1 cawan nasi
1 ¼  cawan air
1 cawan gula pasir
2 cawan tepung beras
1 sudu kecil yis kering
1 paket kecil eno - (saya guna yang peket biru)

Cara-caranya:

1. Blender nasi dan air hingga hancur. Tambahkan gula, tepung beras dan yis. Blend sekali lagi hingga sebati.

2. Perapkan adunan tadi 4-5 jam.

3. Tambahkan pewarna jika suka, kacau perlahan. (saya tidak letak pewarna)

4. Tambahkan eno dan gaul sebati secara perlahan-lahan.

5. Masukkan dalam acuan kuih lompang yg telah di sapu sedikit minyak dan kukus selama lebih kurang 15 minit dengan api kuat. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan kelapa parut yang digaul dengan sedikit garam.